fbpx
HUN HAQEEM

Seksa daripada 80kg jadi 68kg – Hun Haqeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DEMI kelangsungan kerjaya yang baru dibina, Hun Haqeem kini berada dalam fasa sanggup berkorban apa sahaja bagi merealisasikan watak yang dipegang.

Pernah digilai sebagai jejaka bertubuh kekar dalam naskhah Kampung People, kini fizikal Hun berubah 180 darjah.

Percaya atau tidak, semuanya seperti mustahil dilakukan apabila anak kelahiran Kuching, Sarawak itu hilang berat badan sebanyak 12 kilogram (kg) hanya dalam tempoh sebulan.

Kedengaran seperti kerja gila tetapi itu bukti dedikasi pemilik nama penuh Haqeem Hermy demi persembahan dalam naskhah terbitan Viu Original, W:Two Worlds.

Penglibatan dalam sebuah karya besar sebegitu cukup untuk Hun mengenepikan segala. Dia tidak perlu ‘berkira’ melakukan apa sahaja demi watak lakonan sebagai Alif Hadi.

Diet

“Menerusi drama ini, saya memang nak buktikan banyak benda termasuk hilang berat badan sebanyak 12kg dalam tempoh sebulan sahaja. Daripada 80kg menjadi 68kg.

“Dengar seperti mustahil. Memang gila tetapi inilah kelainan yang saya cuba bawa untuk drama hebat ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Teruja berkongsi perjalanan rutin dietnya, Hun hanya mengambil satu hidangan sehari bagi merealisasikan misi tersebut.

SELAIN drama, Hun juga mengimpikan untuk menjadi pelakon layar perak satu hari nanti.

“Bagi mencapai matlamat, saya hanya makan sekali sehari. Terus-terang saya cakap, tindakan ini bukan perkara yang sihat tetapi saya perlu merealisasikannya dalam tempoh yang singkat,” jelasnya.

Meskipun hanya makan sekali sehari, dia akan memastikan hidangan yang diambil lengkap nutrisi yang diperlukan untuk badan, termasuk air yang mencukupi.

“Hidangan yang saya ambil setiap hari sebenarnya lengkap dengan nutrisi seperti protein, fiber dan karbohidrat.

“Selain itu, saya melakukan rutin senaman yang ketat di gimnasium dan paling penting minum air secukupnya,” kata Hun.

Bukan semata-mata sengaja menyeksa diri, Hun turut menafikan penurunan berat badan sebagai ‘mandatori’ bagi memenuhi permintaan pihak produksi.

PADA usia 25 tahun Hun tidak lagi meletakkan sasaran untuk mendirikan rumah tangga dan hanya menanti setiap perancangan Tuhan untuknya.

Jelasnya, itu pengorbanan peribadi bagi memastikan kemenjadian karakter seperti sepatutnya.

“Bukan produksi yang minta tetapi ini semua inisiatif sendiri supaya nampak sesuai dengan watak diberikan.

“Jadi, tidak salah untuk saya berkorban sebab hasilnya insya-Allah akan memuaskan hati semua pihak,” ujarnya sambil mengukir senyuman.

Menerusi drama sama, Hun turut bergandingan dengan aktres yang amat diminatinya iaitu Daiyan Trisha.

Akuinya, pelantun lagu Penat itu seorang yang sangat rajin membuat rujukan dan mudah bekerjasama.

“Daiyan pelakon yang sangat rajin dan mungkin itu yang membuatkan dia sebagai salah seorang selebriti wanita yang berjaya hari ini.

“Ini pertama kali dapat berlakon bersama dan dia memang aktres yang rajin sebenarnya.

“Sepanjang di set penggambaran, kami tidak kekok pun sebab sudah mengenali antara satu sama lain. Jadi mudah mencipta keserasian bersama,” kongsinya ringkas.

Cinta

Sempat ditebak mengenai cinta, jejaka yang pernah diberi jolokan ‘oppa’ Malaya itu mengakui selesa dengan kehidupan solo ketika ini.

PELAKON drama Angkara Cinta ini berpendapat Daiyan seorang aktres yang rajin dan mudah untuk bekerjasama.

Bukan menolak cinta, dia bagaimanapun enggan meletakkan sebarang sasaran untuk mendirikan rumah tangga dan akur dengan ketentuhan Tuhan.

“Kalau mengenali saya sejak awal pembabitan dalam dunia lakonan, memang kerap cakap nak kahwin awal seperti pada usia 25 tahun.

“Semua lelaki impikan begitu. Kalau jodoh itu datang awal, mengapa perlu tolak tetapi sayangnya belum tiba.

“Percaturan Tuhan untuk kehidupan setiap hambanya adalah yang terbaik,” katanya sambil tertawa kecil.

Enggan tergesa-gesa, Hun cukup percaya bahawa kehidupan solo memberinya banyak waktu bersama keluarga dan diri sendiri.

“Saya pandang kehidupan solo ketika ini sebagai peluang menambah baik perkara yang sepatutnya.

“Saya boleh manfaatkan untuk diri sendiri, antaranya sertai kelas lakonan tanpa ada sebarang ‘sekatan’ berjanji temu dengan buah hati.

“Mungkin seronok bercinta tetapi ketika ini saya tak mahu lagi letak sasaran (tamatkan zaman bujang),” tuturnya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN