fbpx

Penjawat awam perlu bersama kerajaan lawan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

SEREMBAN – Semua penjawat awam perlu memainkan peranan bersama kerajaan menyelamatkan negara dalam melawan isu rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara pernah melalui keadaan ekonomi yang stabil, namun merosot disebabkan budaya mendapatkan habuan daripada kedudukan atau jawatan demi kepentingan peribadi.

“Kita mesti jaga amanah dan jangan khianati amanah ini, jangan guna kuasa selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan atau Menteri Besar atau Menteri untuk mengaut kekayaan.

“Negara ini kaya, pernah mencatat satu keadaan yang jauh lebih baik walaupun tidak sepenuhnya cemerlang namun merosot kerana budaya kita, siapa yang ada kuasa, siapa yang jadi Perdana Menteri maknanya isteri dia, anak dia, keluarganya, kroninya, semua akan dapat habuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, di sini hari ini.

Jelas Anwar, sokongan dan kerjasama penjawat awam di peringkat persekutuan serta negeri amat penting untuk menyelamatkan negara daripada hutang RM1.5 trilion selain menajga amanah negara dengan penuh rasa tanggungjawab.

Anwar berkata, tidak guna untuk sesetengah pihak berucap dalam soal selamatkan orang Melayu dan selamatkan Islam tetapi negara dipimpin oleh individu yang mahu ‘menyakau’ harta rakyat.

“Bagaimana kita boleh selamatkan Melayu kalau pemimpin-pemimpin tidak amanah, tentang Islam bagaimana yang kita mahu tonjolkan kalau tidak menjadi contoh mengurus negara dengan baik.

“Orang kata Anwar keras sangat mengenai rasuah, setiap pidato cakap soal rasuah, sebab rasuah ini sudah menular, yang hilang berpuluh bilion ringgit, mana boleh negara diurus kalau kita selamatkan orang yang sakau berbilion-bilion ringgit,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menempelak pihak-pihak yang mendakwa kerajaan ditadbirnya ketika ini merupakan kerajaan yang anti-Islam.

“Saya tidak datang ke sini untuk pertahankan DAP, tetapi saya tengok pengalaman saya sekarang dalam kerajaan dengan kepemimpimam PH, UMNO dan DAP, kita buat keputusan, tidak pernah berlaku dalam sejarah, peruntukan untuk agama Islam lebih tinggi sekarang berbanding dahulu.

“Bantuan untuk sekolah agama rakyat yang dahulu dibatalkan sama sekali sama sekali oleh Tun Mahathir, tetapi saya memilih untuk berbeza, kita akan bantu semua sekolah agama rakyat.

“Di mana yang kata kita anti-Islam, di mana? Dalam semua langkah ini termasuk langkah besar menyelamatkan Felda, pimpinan UMNO berikan sokongan solid, DAP sokong solid langkah kita untuk selesaikan hutang-piutang Felda, di mana pengkhianatan DAP dalam hal ini?,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI