fbpx

Ibu kanak-kanak mati dipukul biar anak diasuh suspek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOKASI mangsa berusia tiga tahun dipercayai dipukul sehingga mati di Cheng, Melaka.

MELAKA – Ibu kepada kanak-kanak berusia tiga tahun yang dilaporkan mati dipercayai akibat dipukul didakwa kerap meninggalkan mangsa di kediaman suspek lelaki di Cheng di sini.

Menurut jiran suspek, Norhisham Syed, 53, sebelum ini rumah tersebut didiami lelaki berkenaan bersama ibu dan bapanya, namun kedua orang tuanya itu telah berpindah keluar pada Mei lalu.

Ujarnya, sejak itu wanita terbabit sering dilihat datang ke rumah berkenaan dengan menaiki kereta dan membawa mangsa bersamanya.

“Dua hari lepas saya nampak wanita tersebut datang kira-kira pukul 7 petang membawa anaknya ke rumah tersebut.

“Sebelum ini, saya pernah memberi nasihat kepada jiran saya itu untuk tidak membawa masuk individu bukan mahram tetapi dia memberitahu wanita tersebut adalah sepupunya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Tambahnya, dia juga pernah bersemuka dengan wanita terbabit untuk berpesan perkara sama, namun ibu tunggal berkenaan memberikan alasan sekadar ingin menghantar anaknya untuk dijaga suspek sementara dia pergi bekerja.

Ujarnya, bagaimanapun dia tidak pernah mendengar bunyi bising atau mangsa menangis susulan rumahnya berada kira-kira 20 meter daripada kediaman suspek.

“Saya kenal keluarga dan suspek ini, kalau dia nampak saya memang dia tegur, dia okay sahaja tapi tak sangka kejadian ini boleh berlaku. Suspek lelaki ini bekerja sendiri, dia membaiki mesin fotokopi dan sebagainya,” katanya.

Kosmo! pagi tadi melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai dibunuh selepas laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami kecederaan tengkorak dan organ dalam perut yang pecah.

Susulan itu, ibu kandungnya dan teman lelaki masing-masing berusia 24 dan 25 tahun ditahan di Unit Forensik Hospital Melaka pada pukul 8 malam tadi.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI