fbpx

Struktur penjaja, kebun haram biak nyamuk aedes dimusnahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kontraktor pembersihan MBSJ melakukan operasi perobohan struktur penjaja dan kebun haram untuk mencegah kes denggi di Pangsapuri Enggang, Selangor hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO! ONLINE

SERDANG – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil tindakan perobohan ke atas struktur penjaja dan kebun haram yang dipercayai menjadi punca pembiakan nyamuk aedes di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara, di sini hari ini.

Pengarah Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, setakat hari ini, sebanyak 41 kes demam denggi dicatatkan di kawasan berkenaan.

“Pembinaan struktur ini kita dapati sudah lama sekitar 3 tahun. Mungkin dahulu ia tidak sebesar sekarang dan sekadar dijadikan tempat berteduh, namun lama kelamaan kita dapati tiada penjagaan dari segi kebersihan.

“Hasil semakan Jabatan Kesihatan MBSJ Jabatan Kesihatan Daerah Petaling, terdapat beberapa tempat pembiakan nyamuk aedes dikenal pasti yang perlu diatasi segera.

“Jadi, tindakan perobohan ini merupakan usaha paling pantas bagi memastikan kawasan pembiakan nyamuk aedes ini dapat diselesaikan dengan cepat,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Muhammad Azli berkata, notis amaran mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) telah dikeluarkan minggu lalu bagi memberi peluang kepada pemilik struktur untuk membuat persediaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan diambil ekoran pemilik struktur tidak dapat dikesan, namun kerja-kerja merobohkan dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

“Biasanya orang dekat-dekat juga yang buat jadi kita harap mereka dapatlah mesej yang tak boleh dirikan struktur (haram) kerana MBSJ akan ambil tindakan.

“Memang ada pihak akan nampak peluang untuk jalankan aktiviti bercucuk tanam tapi tak boleh lah jika (dilakukan) di tanah kerajaan tanpa kelulusan,” ujarnya.

Muhammad Azli berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil bagi menjaga keselamatan lebih 5,000 penduduk yang menetap di pangsapuri 10 tingkat itu.

“Penduduk di sini pun nampak (operasi perobohan), dia intai dari atas, jadi mereka tahu tak boleh bina struktur yang tidak dapat kebenaran dari pihak berkuasa.

“Selain itu kita juga akan menjalankan kerja-kerja ‘fogging’ bagi mengawal pembiakan nyamuk aedes selain mengadakan kempen kesedaran bersama penduduk,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI