BERBUNYI unik, pemilihan nama SITISM sebagai judul diskografi ke-20 sepanjang hampir 30 tahun dalam industri muzik boleh dikira satu keputusan tepat buat Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Sebagaimana ada yang mengakui penganut ‘Sititology’, kini Sitism juga secara simbolik rasmi Siti Nurhaliza sebagai satu jenama muzik yang utuh.
Boleh dikatakan sebagai ‘tanda dagang’ buat dirinya, SITISM dipadatkan dengan ciri tersendiri, mewakili siapa Siti, tentang pengaruh dan jenama penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu di mata industri.
Atas pemahaman-pemahaman sebegitulah, penghibur kesayangan ramai itu melihat penerbitan SITISM itu sebagai bingkisan segar istimewa daripadanya seiring peredaran masa dan perkembangan muzik global ketika ini.
Album tersebut juga dilihat sebagai serlahan jiwa serta identitinya yang disatukan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan visual kulit album.
Menurutnya, SITISM dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti.
Imbuhan ‘ism’ adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju karya berkenaan.
“Apabila nama Siti dan imbuhan ‘ism’ ini digabungkan, SITISM membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 ini,” kata Siti.
Pada masa sama, Siti mendedahkan perkataan itu kerap disebut seorang penerbit dan komposer yang turut menyumbangkan lagu di dalam naskhah berkenaan.
Komposer berkenaan, tidak lain tidak bukan, tentulah Aubrey Suwito. Penggubah lagu itulah individu yang selalu menggunakan istilah ‘Sitism’ bagi menggambarkan jenama dirinya.
“Komposer yang saya hormati itu menyatakan sama ada ketika menyanyi dan mengadakan persembahan, ciri khas terbabit membolehkan orang tahu itulah Siti Nurhaliza,” luahnya.

Gabungan Malaysia, Indonesia
Mengenai pembabitan penggubah lain bagi buah tangan yang bakal menemui peminat menerusi pelantar digital bermula 30 Jun itu, terdapat lapan lagu daripada penggubah senior dan muda termasuk dari Indonesia.
“Selain Aubrey, nama hebat lain yang terbabit dalam album ini termasuk Melly Goeslaw, Sharon Paul, Andi Rianto, Luca Sickta, Tomok dan ramai lagi,” tambahnya.
Penyanyi nombor satu negara itu juga menzahirkan berita gembira apabila akan ada empat lagi dendangan bonus menyusul selepas ini.
“Saya ingin peminat menghayati lapan dendangan dahulu sebelum penambahan empat lagi lagu yang menjadikan SITISM lebih istimewa apabila dikeluarkan dalam bentuk fizikal selain digital kelak,” tuturnya.

Elemen futuristik
Sementara itu, Siti menerusi Instagtam turut tampil memberi penjelasan mengenai pemilihan konsep album terbaharu berjudul SITISM yang menjadi bahan perdebatan netizen.
Luahnya, konsep dan imej dipaparkan dalam album adalah terjemahan kepada konsep ‘cyber retro futurism’.
“Konsep album adalah ‘cyber retro futurism’ dan gabungan gaya seni serta reka bentuk inspirasi dari elemen masa silam seperti nostalgia dan gaya retro, masa kini serta suntikan elemen futuristik.
“Elemen futuristik yang dipaparkan sangat unik kerana fungsinya sebagai imaginatif mengenai pandangan masa hadapan dalam industri muzik,” tulis anak seni berusia 44 tahun itu.

‘Headphone’ jadi pelengkap
Dari segi paparan imej menggayakan memakai ‘headphone’, penyanyi Biarlah Rahsia itu menganggap penggunaan visual berkenaan melengkapkan lagi konsep album baharunya.
“Visual album ini adalah simbolik kepada karya ikonik futuristik menerusi imej ‘headphone’, yang menggabungkan elemen jalinan nota muzik membentuk seperti mahkota.
“Gaya ‘headphone’ adalah simbolik gaya mendengar muzik dan audio pada era siber ini.
“Manakala jalinan elemen nota muzik simbolik formula penciptaan iaitu komposer dan penulis lirik serta penjelajahan idea baharu untuk menghasilkan irama terbaik.
“Paparan ini turut melambangkan interpretasi perasaan dan imaginasi saya termasuk visi, misi, inspirasi, impian dan pengalaman dalam industri muzik,” ujar penghibur yang bakal beraksi dengan maestro muzik, David Foster itu lagi.
Dari sudut pemilihan warna metalik yang melatari keseluruhan kulit album, rona berkenaan pula bertindak sebagai gambaran keperibadiannya yang juga ‘tanda dagang’ sejak hampir tiga dekad dalam industri muzik.
“Gabungan warna metalik, tembaga dan kuning keemasan mewakili eksklusiviti, keanggunan dan keberanian saya yang sudah sekian lama bertapak dalam kerjaya seni,” katanya.

Lirik tulisan Siti
Antara seleksi lagu adalah Romansa Kita berentak rock balada ciptaan Sharon Paul dan lirik ditulis Rozi Sang Dewi selain Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu sentuhan Luca Sickta/Luca Sickta, manakala seni katanya gubahan Siti Nurhaliza.
Tidak ketinggalan lagu Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozi Sang Dewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya) dan Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara).
Album terbitan bersama Universal Music Sdn. Bhd. dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. berkenaan boleh didapati di semua platform digital bermula 30 Jun lalu. Album penuh fizikal atau album ‘deluxe’ pula dijangka berada di pasaran awal Ogos nanti.
















