fbpx

Kajian mendalam, belanja RM5 juta untuk Sumpahan Jerunei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sumpahan Jerunei menjengah pawagam seluruh tanah air pada 27 Julai depan.

SELEPAS hampir tiga dasawarsa, dua sahabat baik, Datuk Nancie Foo dan Datin Wendy Wong menerusi syarikat milik mereka, Produksi Seni 2020 tampil dengan filem genre seram, Sumpahan Jerunei.

Filem yang mengangkat sejarah, adat dan budaya kaum Melanau di Sarawak yang kekal misteri kepada masyarakat luar, sekali gus ‘comeback’ dalam bidang perfileman.

Kali terakhir, Nancie dan Wendy menerbitkan filem menerusi Red Haired Tumbler Di Malaya pada 1994.

Karya tersebut pernah menerima Anugerah Khas Juri, Festival Filem Malaysia Ke-12 pada 1995, selain menembusi pencalonan New York Asian Film Festival.

Wendy berkata, dia dan Nancie mahu menghasilkan filem berkualiti dan tidak malu untuk dibawa ke peringkat antarabangsa sebelum bersara dari industri perfileman.

“Kami sudah lama berkecimpung dalam industri seni sejak drama bersiri, Kisah Benar mencetuskan fenomena pada 1993.

“Jadi, kami sedar untuk menghasilkan filem berkualiti akan membabitkan bajet besar, apatah lagi karya yang boleh dibawa ke pasaran antarabangsa, tetapi kami sanggup mengambil risiko.

“Ini kerana kami mahu menghasilkan karya yang dapat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi tarikan pelancong asing.

“Kami bersyukur atas bantuan dan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak. Tanpa sokongan mereka, kami tidak mampu menghasilkan filem bermutu dan berkualiti.

“Malah, kami mengambil tempoh selama enam tahun untuk menyiapkan filem sepenuhnya dan harap, orang kita akan menghargai karya tempatan,” katanya.

Dokumentari

Selaku pencetus idea asal filem, kata Wendy, pada mulanya, mereka merancang untuk menerbitkan dokumentari yang boleh membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Kami berbincang dengan penulis skrip mencari cerita sesuai untuk dibuat dokumentari sehinggalah ke Sabah dan Sarawak.

“Dalam proses pencarian, kami dapat tahu mengenai sejarah dan adat budaya ritual kaum Melanau pada abad ke-16 iaitu Jerunei yang wujud di Sarawak. Kami tertarik untuk menghasilkan dokumentari dalam bentuk tesis.

“Kami berhasrat menghasilkan dokumentari menerusi hasil penyelidikan dan kajian yang dilakukan, di mana awalnya mahu dijadikan tesis untuk diserahkan kepada Muzium Sarawak,” katanya.

Kajian mendalam

Katanya, pihak produksi buat kajian mendalam mengenai budaya dan sejarah Jerunei selama dua tahun dengan mendapat kerjasama dari Majlis Adat Istiadat Sarawak, Muzium Sarawak, Persatuan Melanau Kuching dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak.

“Pelbagai proses perlu dilalui sebelum mendapat kebenaran dari Majlis Adat Istiadat Sarawak untuk buat kajian berkaitan Jerunei di Mukah disebabkan keturunan masih wujud.

“Kami bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Profesor Datuk Dr Jeniri Amir. Beliau banyak berkongsi maklumat dan memberi nasihat mengenai sejarah Jerunei.

“Tidak ketinggalan, kami mendapat pertolongan mendiang Hat Kok Lai, mendiang Eric Michael Toyad dan John Ling dari Majlis Adat Istiadat Sarawak,” katanya.

Adat kepercayaan kaum

Wendy berkata, berdasarkan adat dan kepercayaan kaum, bila ada orang kaya atau golongan bangsawan yang mahu meninggal dunia kena ada dua hamba perempuan dan lelaki yang masih dara dipilih si mati untuk dikorbankan sekali dalam ritual itu.

Dua sahabat baik, Nancie dan Wendy mengambil risiko dengan menerbitkan sebuah filem seram berjudul Sumpahan Jerunei selepas kali terakhir berbuat demikian 29 tahun lalu.

“Hamba lelaki yang dipilih si mati itu akan dimasukkan ke dalam lubang, manakala hamba wanita pula akan digantung di tiang Jerunei sehingga tidak bernyawa.

“Bagaimanapun, ritual upacara ini dimansuhkan pada abad ke-18 ketika Charles Brooke menjajah Sarawak.

“Kami memilih kaum bangsawan Melanau untuk diangkat dalam cerita Sumpahan Jerunei kerana keturunan mereka iaitu Tommy Black masih ada di Mukah.

“Tommy memiliki Muzium Sapan Puloh di Mukah dan menyimpan barangan berkaitan Jerunei seperti props, pakaian dan artifak daripada nenek moyang.

“Kami menghargai sokongan Tommy Black yang sudi menjadi konsultan bagi babak ritual upacara bangsawan kaum Melanau.

“Produksi juga mendapat kerjasama dari keturunan kaum Melanau yang banyak berkongsi fakta iaitu Ketua Kampung, Uncle Sill,” katanya.

Kos pembikinan

Mengulas pembikinan filem itu, kata Wendy, Sumpahan Jerunei membabitkan kos mencecah RM5 juta.

“Kos pembikinan filem sangat tinggi kerana membabitkan banyak penggunaan elemen kesan khas, VFX dan teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) ketika penggambaran menggunakan skrin biru.

“Kami terpaksa mengeluarkan kos lebih RM100,000 untuk membawa peralatan teknikal dan reka bentuk yang besar dari Kuala Lumpur ke lokasi penggambaran di Kuching.

“Selain itu, filem ini membabitkan lebih 100 tenaga kerja membabitkan barisan pelakon, kru dan pelakon tambahan dari rakyat tempatan yang boleh berbahasa Melanau.

“Penggambaran filem mengambil tempoh selama 45 hari dan lokasi sepenuhnya di Kuching dan Siburan. Cuma, pada peringkat permulaan sahaja penggambaran dilakukan di Mukah.

“Penggambaran dilakukan sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun selepas dua tahun, barulah kami menyiapkan proses suntingan filem,” ujarnya.

Sumpahan Jerunei arahan Jason Chong menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, Ruminah Sidek, Yuyun Hikmah dan ramai lagi.

Filem berkenaan akan mula menjengah pawagam seluruh tanah air pada 27 Julai depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI