fbpx

Perjalanan tunai haji tanpa mahram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ashikin di Jabal Uhud, Madinah, Arab Saudi.

SERUAN haji disambut oleh Muslim dari seluruh dunia pada setiap bulan Zulhijah bagi menunaikan rukun Islam kelima.

Uniknya tahun ini, jemaah haji wanita dibenarkan untuk menunaikan haji dan umrah tanpa mahram (penjaga lelaki).

Keputusan tersebut diumumkan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq Al Rabiah pada Oktober tahun lalu.

Keputusan tersebut membolehkan jemaah haji wanita Malaysia, Ashikin Soo menyahut seruan itu setelah menolak panggilan pertama pada suatu ketika dahulu.

Ashikin yang masih belum berumah tangga dan sudah kehilangan bapa berasa bersyukur kerana berkesempatan melakukan haji pada usia muda.

“Panggilan haji saya yang pertama adalah pada Disember 2015, tetapi saya terpaksa tolak kerana tiada mahram.

“Adik-beradik saya yang lain pada ketika itu masih belum mampu dan tidak bersedia untuk menunaikan ibadah haji.

“Apabila saya menerima panggilan kedua pada April lalu, pihak Tabung Haji mengesahkan bahawa wanita boleh menunaikan haji tanpa mahram.

“Jadi, ibu menasihatkan saya untuk tidak lagi menolak peluang ini,” katanya yang mendaftar haji pada 2007 kepada Horizon.

Mengimbau kembali saat dirinya menerima tawaran menunaikan haji buat kali kedua, wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu mengakui rasa sebak.

Ashikin bergambar
di depan pintu Umar bin Khattab, Masjid Nabawi.

Tanpa melengahkan masa, Ashikin dengan segera melengkapkan segala keperluan dokumen yang diminta oleh pihak tabung haji.

Ashikin merupakan jemaah muassasah iaitu jemaah yang menerima subsidi daripada kerajaan dan perlu melalui sistem giliran.

Menurutnya, pihak Tabung Haji sangat membantu memudahkan proses keperluan jemaah, sekali gus menjadikan perjalanan haji solonya berjalan lancar.

“Sebaik tiba di sini, kami melakukan ibadah umrah yang dipimpin oleh pihak Tabung Haji.

“Kemudian, kami bebas melakukan aktiviti mengikut kesesuaian masa masing-masing.

“Sejujurnya, saya lebih senang bergerak secara solo kerana saya berazam untuk khatam al-Quran semasa berada di sini.

“Menerusi aplikasi Thhujjaj, saya dapat informasi lengkap berkenaan pergerakan jemaah dari Kuala Lumpur hingga ke Mekah dan Madinah,” jelasnya yang tinggal di hotel berdekatan Masjidil Haram.

Wanita yang bertugas sebagai konsultan kewangan itu turut berkongsi pengalaman berjumpa dengan jemaah haji wanita tanpa mahram dari pelbagai negara.

Selain wanita yang belum berkahwin, antara golongan yang mendapat manfaat daripada kelonggaran tersebut adalah ibu tunggal dan warga emas kematian suami.

Tambahnya, wanita perlu berusaha menunaikan haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi melengkapkan rukun Islam kelima itu.

“Nasihat saya buat wanita di luar sana, daftar sahaja haji dahulu dan perlahan-lahan simpan duit untuk pergi haji kerana peluang ke sana sudah ada.

“Saya juga menasihati mereka untuk bersedia dari segi kesihatan kerana ibadah ini memerlukan tahap kecergasan yang tinggi,” ujarnya yang berhajat melawat tempat-tempat lain di Mekah dan Madinah usai ibadah haji nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI