fbpx

Tekanan kerja bandar punca keganasan rumah tangga di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Mariah (tengah) dan Hussein kiri selepas majlis penutup kempen memerangi keganasan rumah tangga Polis Selangor, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

SHAH ALAM – Tekanan kerja khususnya di bandar mendorong berlakunya kes keganasan rumah tangga di Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan statistik menunjukkan sebanyak 944 kes dilaporkan pada 2020, 2021(1,713 kes), 2022 (1,284 kes) dan sehingga April pada tahun ini merekodkan 423 kes.

Katanya, antara daerah yang mencatatkan jumlah tinggi bagi kes tersebut termasuk Petaling Jaya, Kajang, Gombak dan Hulu Selangor.

“Walaupun statistik mencatatkan trend meningkat namun tidak mengambarkan negeri paling tinggi berlaku keganasan rumah tangga susulan jumlah penduduk yang ramai di negeri ini

“Faktor berlakunya kes tersebut disebabkan tekanan kerja di Selangor selain masalah kewangan yang mendorong berlaku perselisihan faham sehingga berlakunya keganasan rumah tangga,” katanya ketika ditemui selepas Kempen Memerangi Keganasan Rumah Tangga Polis Selangor, hari ini.

Perasmian penutupan kempen itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Hussein menjelaskan kebanyakan mangsa adalah wanita yang bukan sahaja didera secara fizikal sehingga melibatkan kecederaan parah dan kematian malah turut dari segi mental.

Ujarnya, polis khususnya turut mempunyai kaunselor dalam membantu rawatan emosional selain disediakan pihak hospital dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, beliau bagaimanapun menegaskan jumlah laporan itu secara tidak langsung menunjukkan tahap kesedaran masyarakat semakin tinggi bagi mengelakkan kes keganasan rumah tangga menjadi semakin parah.

“Sebelum ini, ramai tidak lapor kerana bertahan dan takut sangat berlaku perceraian sehingga menyebabkan pertambahan isu keganasan rumah tangga.

“Kes-kes sebegini tidak seharusnya dipandang ringan kerana bukan sahaja memberikan implikasi negatif kepada mangsa dan keluarganya malah memberikan masalah sosial di kalangan masyarakat setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI