fbpx

Anwar ke Laos, perkukuh kerjasama, kembang pelaburan baharu Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir ketika bertemu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Negeri Laos, Saleumxay Kommasith.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini tiba di Laos bagi mengadakan lawatan rasmi pertama ke negara berkenaan dalam memperkukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, lawatan dua hari itu memberi peluang kepada pemimpin kedua-dua negara membina momentum positif sebelum Laos mengambil alih Kepengerusian ASEAN daripada Indonesia pada tahun depan.

Katanya, lawatan rasmi ini merupakan jemputan daripada Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone (Son-Sai Si-Pan-Don) yang dipanjangkan kepada Perdana Menteri ketika Sidang Kemuncak ASEAN di Labuan Bajo, Indonesia baru-baru ini.

“(Selain bertemu pemimpin itu), Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Laos, Thongloun Sisoulith (Tong-Lun Si-Su-Lit) dan Presiden Dewan Rakyat Laos, Xaysomphone Phomvihane (Sai-Som Pon Pom-Vi-Han),” katanya di sini hari ini.

Anwar dan Sonexay dijangka menyaksikan beberapa pemeteraian Memorandum Kerjasama iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Lao National Railway State Enterprise (LNRSE) dalam bidang pengangkutan kereta api manakala Mutiara Perlis Sdn. Bhd. (MPSB) dan Thanaleng Dry Port (TDP) dalam bidang pelabuhan darat.

Jelas Wisma Putra, Perdana Menteri akan turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Electricite du Lao (EDL).

Katanya, memorandum persefahaman dan kerjasama ini dijangka mengukuhkan lagi pelaburan Malaysia di Laos serta memberikan faedah kepada pembangunan sosio-ekonomi kedua-dua negara yang menguntungkan rakyat.

Anwar turut dijadual bertemu dengan pemimpin-pemimpin Islam di Laos, bagi membincangkan isu-isu ummah terutamanya yang dihadapi oleh umat Islam di Laos.

Pada masa sama, Anwar juga bakal bertemu dengan diaspora Malaysia di negara itu bagi sesi ramah mesra dan peluang berkongsi dasar serta hala tuju Kerajaan Madani.

Wisma Putra berkata, Laos merupakan anggota ASEAN sejak tahun 1997 dan rakan kongsi strategik yang penting untuk Malaysia di rantau Asia Tenggara.

Kedua-dua negara mempunyai jalinan kerjasama erat dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, kewangan, perbankan, pendidikan, pertahanan, bekalan tenaga dan lain-lain.

Dalam pada itu, Malaysia bersedia membantu Laos dalam persediaan negara tersebut menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan.

Hubungan erat di antara Malaysia dan Laos ini diperkukuhkan melalui kerangka Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC) sebagai mekanisma dua hala yang bertujuan membincangkan isu-isu berkepentingan bersama di peringkat Menteri Luar Negeri.

Laos dijangka menganjurkan mesyuarat JCBC ke-4 pada tahun depan bagi meneruskan momentum kerjasama dua hala di antara kedua-dua negara.

Kerjasama ekonomi kukuh adalah tiang utama dalam pembentukan hubungan erat di antara Malaysia dan Laos yang mana pada tahun lepas, jumlah dagangan di antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 425 peratus dan dinilaikan sebanyak RM1.127 bilion.

“Peningkatan ketara dalam jumlah dagangan ini disebabkan permintaan tinggi terhadap barangan elektrik dan elektronik Malaysia yang berkualiti di Laos.

“Malaysia merupakan pelabur keempat terbesar di Laos selepas China, Thailand dan Vietnam dengan jumlah pelaburan pada ketika ini bernilai sebanyak RM3.6 bilion (USD794 juta),” ujarnya.

Selain itu, pelaburan Malaysia di Laos tertumpu kepada sektor tenaga, zon perdagangan bebas, automotif dan perbankan sekaligus diharap lawatan kali ini dapat mengembangkan pelaburan Malaysia dalam sektor tenaga boleh baharu, pengangkutan kereta api dan logistik (pelabuhan darat). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI