fbpx

Debaran OPR Julai ini, sama ada kekal, naik atau turun?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Sejak tahun lalu rakyat Malaysia dilihat semakin celik kewa­ngan dengan istilah yang sebelum ini dianggap sedikit teknikal seperti Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah mula difahami oleh rakyat kebanyakan.

Justeru, selain debaran Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak menghairankan sekiranya satu lagi perkara yang menjadi perhatian bulan depan ialah mesyua­rat Jawatankuasa Polisi Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 haribulan.

Ia antara lain bakal menentukan sama ada OPR akan dikekalkan, dinaikkan atau diturunkan, dengan mesyuarat MPC sebelum ini pada 2 dan 3 Mei lalu telah membuat keputusan yang dianggap sebagai mengejutkan apabila OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus.

Ketika ramai beranggapan OPR mungkin tidak dinaikkan dalam masa terdekat setelah dinaikkan kembali kepada paras sebelum pandemik baru-baru ini, mungkin tiada seorang pun yang boleh menjamin ia tidak akan dinaikkan lagi pada mesyuarat MPC akan datang.

Sejak OPR diperkenalkan pada 2004, ia telah banyak kali dilaraskan dan OPR tertinggi adalah 3.5 peratus pada April 2006.

Menurut BNM, ketika itu ekonomi Malaysia sedang tumbuh dengan stabil, manakala kadar inflasi, atau Indeks Harga Pengguna (CPI) ialah pada 4.6 peratus. OPR yang lebih tinggi ketika itu diperlukan untuk me­nguruskan risiko harga yang ­lebih tinggi.

Penulis pada awal bulan ini sempat mengikuti Simposium Sasana BNM di Sasana Kijang, yang mana Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus hadir menyampaikan ucapan.

Beliau menerangkan pela­rasan OPR adalah perlu supaya ia berpadanan dengan realiti ekonomi negara sekarang yang berkembang kukuh, selain sebagai tindakan awal untuk menguruskan inflasi.

Katanya, ketika beberapa tekanan kos semakin menurun, ia tidak diterjemahkan kepada harga akhir barangan kerana permintaan kekal tinggi.

Tambahnya, jika kita tidak menguruskan tekanan harga yang berlebihan seperti yang dilihat pada beberapa ekonomi lain, ini akan menjejaskan semua me­lalui kuasa beli yang lebih rendah, lebih-lebih lagi golongan B40 dan kumpulan rentan yang paling banyak menerima kesan.

Teks ucapan beliau masih boleh dibaca di laman web BNM.

Penjelasan panjang lebar Nor Shamsiah itu membuatkan penulis terfikir sama ada ia hanyalah justifikasi kepada kenaikan OPR sebelum ini, atau turut merupakan gambaran bahawa OPR akan dinaikkan.

Perlu diketahui selepas Julai, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak dua kali lagi tahun ini iaitu pada September dan November.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff ketika dihubungi berkata, pihaknya menjangkakan OPR akan dikekalkan pada mesyuarat MPC akan da­tang, memandangkan kadar inflasi setakat bulan April lalu masih dianggap rendah, iaitu pada kadar 3.3 peratus.

Jelasnya, antara faktor utama yang mempengaruhi penetapan OPR ialah inflasi, perbelanjaan pengguna dan pemberian pinjaman oleh institusi kewangan.

“Kadar sekarang pada tiga peratus ini adalah sama seperti kadar sebelum pandemik dan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pun baru-baru ini mengekalkan kadar faedah mereka.

“Tekanan pada ringgit sekarang dilihat tidak begitu memberi kesan kepada penentuan OPR,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI