fbpx

Tambah baik subjek Sejarah agar ramai boleh lulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBANYAK 8.4 peratus pelajar tidak layak mendapat sijil SPM ekoran gagal mata pelajaran Sejarah, BM atau kedua-duanya. – GAMBAR HIASAN

ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan diminta menambah baik modul silibus mata pelajaran Sejarah termasuk melihat keperluan menambah jumlah waktu belajar bagi memastikan pelajar lulus dengan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah Zainol Abidin Mohamad berkata, kementerian juga perlu mengadakan kajian kes bagi memberi peluang kepada pelajar lemah menambah markah agar lulus dalam peperiksaan itu.

“Sejarah jadi subjek wajib lulus untuk dapat sijil selain Bahasa Melayu (BM) tetapi Sejarah hanya diajar sebanyak 120 minit seminggu iaitu antara dua hingga tiga waktu sahaja berbanding BM iaitu enam hingga tujuh waktu.

“Subjek Sejarah semuanya adalah berkaitan penghafalan, bukan semua pelajar mampu menguasai perkara ini. Kita harap kerajaan perlu mencari jalan untuk memperbaiki perkara ini kerana pelajar belajar sehingga 11 tahun tetapi gagal akhirnya,” katanya.

Beliau menambah, pemarkahan subjek Sejarah itu juga boleh dilakukan dengan nisbah 30 peratus lisan dan 70 peratus ujian bertulis seperti BM.

“Kena kaji balik kalau mahu terus jadikan Sejarah subjek wajib lulus.

“Mungkin perlu adakan sesi pembelajaran berbeza seperti bentuk kuiz untuk menarik perhatian mereka,” jelasnya.

KPM sebelum ini mendedahkan 8.4 pe­ratus daripada pelajar lepasan SPM 2022 tidak la­yak mendapat sijil kerana gagal dalam subjek BM dan Sejarah atau kedua-duanya.

Menyentuh cadangan lepasan SPM yang gagal agar menceburi pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) katanya, kerajaan perlu memperkasakan bidang itu untuk menarik golongan muda.

“Kita tak boleh paksa mereka jika tidak minat. Apa yang penting baiki silibus yang ada untuk pastikan mereka dapat sijil SPM yang sangat penting seterusnya mereka boleh pilih bidang yang disukai,” katanya.

Dalam pada itu, seorang bapa, Aziz Kamaruddin, 58, berkata, anaknya trauma apabila diminta untuk mengambil semula subjek Sejarah berikutan dia bercita-cita mahu menjadi askar atau polis sama se­perti abang-abangnya.

“Saya percaya ramai senasib dengan anak saya dan berharap kementerian dapat melakukan sesuatu supaya masa depan pelajar tidak gelap semata-mata mereka gagal mata pelajaran tertentu,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI