MATANYA terpegun melihat bangunan-bangunan bersejarah Malaysia yang tidak asing pada penglihatannya.
Berasal dari Kuching, Sarawak, jejaka itu meneliti landskap binaan-binaan miniatur bersejarah itu terutama bangunan-bangunan di negeri kelahirannya di satu sudut pameran.
Kata Dilan Anak Barry, 28, melihat bangunan-bangunan itu membuatkan dirinya rindu dengan kampung halaman yang jauh di seberang laut.
Menurutnya, dia sangat kagum dengan setiap bangunan yang direka semula dalam model miniatur kerana sangat persis bangunan asal.
“Melihat landskap lokasi bangunan sejarah di Sarawak menggamit kembali memori bersama keluarga terutama semasa ayah membawa saya berjalan-jalan di sekitar bandar.
“Paling saya kagum apabila melihat versi miniatur bangunan kompleks muzium lama di Kuching yang berseni bina unik dan ikonik di Sarawak,” katanya ketika ditemui K2 di Galeri Miniatur Warisan
Budaya Malaysia (MinNature) di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, selain melihat bangunan-bangunan sejarah dari Sarawak, dia juga kagum melihat bangunan-bangunan dari negeri lain dan diorama kehidupan masyarakat di Malaysia yang di terdapat di galeri itu.
MinNature merupakan galeri miniatur yang menghimpunkan bukan saja pameran miniatur bangunan-bangunan bersejarah di Malaysia tetapi juga senario budaya serta warisan negara. Ia merupakan galeri pameran tetap miniatur yang boleh dikatakan dibina dalam skala besar di Malaysia.
Bertempat di dalam kompleks beli-belah, Plaza Sungei Wang, idea penubuhan galeri miniatur dimulakan oleh pemuda asal Petaling Jaya, Selangor, Wan Cheng Huat, 41, pada tahun 2008.
Menurutnya, idea untuk mewujudkan galeri tersebut tercetus selepas dia melihat video sebuah pameran diorama miniatur di Jerman ketika itu.
“Semasa melihat video tersebut, saya berfikir di Malaysia belum ada pameran seumpamanya terutama dengan tema ‘dunia mini’ negeri-negeri di Malaysia.
“Tertarik dengan konsep berkenaan, saya kemudian memasang impian untuk mewujudkan dunia mini tersebut yang menempatkan bangunan-bangunan bersejarah dan landskap budaya di negara ini,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.
Kongsinya lagi, pada peringkat awal, perancangan menubuhkan galeri MinNature bersama rakan rapatnya, Nicholas Ong melalui fasa sulit. Cheng Huat cuba mengembangkan idea itu, namun gagal mendapat bantuan dana daripada mana-mana pihak.
Bukan sekadar itu, dia juga tidak mempunyai pengalaman membuat figura miniatur atau latar belakang dalam dunia seni kreatif.
Graduan jurusan biologi dari Universiti Malaysia Sabah itu mengakui, dalam tempoh dia mencari dana untuk merealisasikan idea galeri miniatur, dia juga mengambil inisiatif mempelajari seni pembuatan model miniatur dan diorama.
“Ramai pihak pada ketika itu tidak memahami visi kenapa saya mahu mewujudkan galeri berkenaan dan selama lima tahun saya berusaha mencari dana, namun tidak berjaya.
“Pada ketika itu saya hampir putus asa dan tidak mahu meneruskannya lagi, tetapi semangat untuk mewujudkan galeri tersebut kembali selepas saya mendapat cahaya mata,” ujar anak sulung daripada tiga beradik itu.

Jelas Cheng Huat yang berketurunan Baba dan Nyonya, kelahiran anaknya itu mengingatkan dia dengan niat asal untuk mewujudkan galeri MinNature iaitu memelihara sejarah dan budaya bangsa di Malaysia buat tatapan generasi akan datang.
Selepas itu, Cheng Huat dan Ong menyusun kembali strategi dan mengumpul kawan-kawan rapat yang berminat untuk bersamanya mewujudkan galeri MinNature.
Dengan mengumpulkan dana bersama-sama, kedua-dua pemuda itu membangunkan galeri MinNature bersama empat orang rakan lain, Chan Chee Wing, Loong Yik Hoe, Benjamin Wan serta Ong Kian Min sejak 2014.
Penghasilan bahan-bahan pameran menggunakan bahan-bahan yang berkualiti termasuk pembuatan dakwat pencetak tiga dimensi (3D) supaya miniatur tahan lama.
Dalam tempoh MinNature diwujudkan, pasukan yang terlibat juga berkembang kepada 40 karyawan dari beberapa negara seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan China.
Pasukan ini mula membuka pameran dan diorama MinNature di lokasi pertama galeri di kompleks beli-belah Summit USJ, Subang Jaya, Selangor pada tahun 2016 sebelum ke lokasi baharu, Plaza Sungei Wang pada tahun 2020.
Kata Cheng Huat, di lokasi baharu, pameran diorama dan miniatur lebih kepada menghimpunkan budaya, senario sejarah dan makanan kaum-kaum di Malaysia.
Dalam keluasan kira-kira 1,208 meter persegi, galeri MinNature mempunyai 10 pecahan yang terdiri daripada lapan bahagian pameran dan satu kedai cenderamata serta bengkel pembuatan.
“Perjalanan dalam galeri akan dimulakan dengan pameran makanan-makanan dari pelbagai kaum di Malaysia kemudian kita akan melihat dunia dalam cermin yang menempatkan diorama budaya bangsa di dalam negara.
“Seterusnya kita membawa pengunjung untuk melihat diorama bangunan-bangunan bersejarah di Malaysia yang dipecahkan mengikut negeri bermula dari Pulau Pinang dan berakhir dengan Sabah,” ujarnya.
Pameran di MinNature juga bukan sekadar mempamerkan diorama dan bangunan mini semata-mata kerana menurut rakan seperjuangan, Chee Wing, 41, bagi memberikan pengalaman menarik, terdapat beberapa bahagian interaktif pada bahan pameran.
Kongsinya yang juga berasal dari Petaling Jaya, di beberapa diorama, ada sensor yang boleh diaktifkan oleh pengunjung untuk menghidupkan suasana dengan bunyi atau menggerakkan figuratif seperti kereta api, penarik beca dan sebagainya.
“Kita juga ada persembahan cahaya yang boleh ditonton oleh pengunjung di beberapa diorama negeri-negeri termasuk di miniatur bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
“Selain itu di setiap bahagian ada diselitkan aktiviti memburu buat pengunjung untuk mencari benda-benda kecil yang tersembunyi,” katanya yang juga bertanggungjawab sebagai juruteknik di MinNature.
Katanya lagi, setiap pengunjung yang datang biasanya akan menghabiskan masa lebih sejam untuk menelusuri puluhan ribu miniatur yang terdapat pada diorama dan pameran di galeri tersebut.














