fbpx

Baiki balai raya terbiar guna duit janaan ‘sampah’ jadi pusat mengaji al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para pelajar dan penduduk kampung bergambar kenangan di depan balai raya yang telah diubah suai menjadi Pusat Mengaji Alfur.

SEBELUM ini, balai raya yang terletak di Kampung Semangat, Kuantan, Pahang berada dalam keadaan usang setelah berbelas tahun terbiar.

Namun begitu, atas inisiatif 14 pelajar Usrah In Action (UIA), Seksyen 821, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, balai raya itu telah berubah wajah.

Setelah dibaiki, balai raya tersebut dijadikan sebagai tempat mengaji al-Quran yang dikenali sebagai Pusat Mengaji Alfur.

Majlis pembukaan pusat itu telah dirasmikan oleh Pengerusi National Council of Women’s Organisation (Malaysia) Pahang, Datuk Seri Maznah Mazlan pada 11 Jun lalu.

Sementara itu, pensyarah dan penasihat UIA, Seksyen 821, Dr. Intan Azura Shahdan berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada pembelajaran berasaskan pengalaman bagi subjek UIA yang diwajibkan kepada pelajar sarjana muda UIAM.

Menurutnya, para pelajar UIA itu telah didedahkan dengan kemahiran komuniti portfolio untuk mendalami demografi serta isu di sesebuah komuniti.

Ujarnya, selepas itu, mereka perlu membuat kertas cadangan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh komuniti tersebut.

“Melalui program ini, para pelajar telah berjaya ‘menyelamatkan’ 1.2 tan berat barang-barang terpakai daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah.

“Barang-barang ini digunakan untuk mengumpul dana bagi menampung kos pembaikan balai raya.

“Barang-barang terpakai ini dikutip di sekitar Kuantan, sebelum dijual bagi menjana pendapatan,” katanya.

ANTARA barangan terpakai yang dijual ketika FamFest di UIAM Kampus Kuantan.

Tambahnya, pelajar-pelajar tersebut juga berjaya menganjurkan Festival Jualan Amal serta Hari Keluarga (FamFest) di UIAM Kampus Kuantan dengan menjual barangan-barangan terpakai yang terkumpul.

Untuk makluman, usaha pelajar tersebut telah bermula sejak Oktober 2022 sehingga sekarang.

Sejumlah RM8,650 telah diserahkan kepada penduduk Kampung Semangat dan sebahagiannya merupakan hasi jualan amal barangan terpakai.

Aktiviti tersebut turut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat apabila ramai yang mengambil peluang sedekah barang-barang terpakai yang masih elok untuk dijual dalam usaha mengumpul dana.

Dalam pada itu, Intan Azura menjelaskan, tapak pelupusan sampah merupakan isu utama di negara ini.

Menurutnya, Malaysia dijangka menghadapi peningkatan bahan buangan domestik ke tapak pelupusan sampah pada masa depan.

Tambahnya, situasi itu akhirnya mengakibatkan pelbagai jenis pencemaran terhadap alam sekitar, termasuk kesan sisa mikroplastik dan peningkatan gas beracun serta gas rumah hijau.

“Bukan itu sahaja, taraf kesihatan penduduk Malaysia juga akan terjejas akibat terdedah kepada gas-gas beracun seperti metana, hidrogen sulfida dan ammonia yang terhasil di tapak pelupusan sampah.

“Oleh itu, rakyat Malaysia perlu lebih peka terhadap kesan pembuangan sampah yang tidak terkawal.

“Jadi, kempen menderma, menjual barangan terpakai, kitar semula atau dinaik taraf perlu digalakkan,” katanya.

Tambahnya, generasi muda perlu dididik dengan peri pentingnya pengendalian bahan buangan yang boleh digunakan semula supaya ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup.

Justeru, usaha para pelajar UIA, Seksyen 821 mengurangkan jumlah sampah domestik terutama sekali pakaian dan peralatan elektronik di tapak pelupusan sampah harus dipuji serta dicontohi.

Selain usaha mengumpul dana amal sambil mengurangkan pencemaran alam sekitar, FamFest turut meraikan kedatangan seramai 37 orang kanak-kanak serta tujuh orang pengiring dalam kalangan ibu bapa dari Kampung Semangat.

Penasihat FamFest, Dr. Norul Hernani Abd. Latif berkata, segala penat lelah mereka hilang apabila melihat senyuman kanak-kanak daripada keluarga B40, asnaf serta anak-anak yatim yang amat memerlukan.

Ujarnya, kanak-kanak tersebut telah mendapat buku, peralatan, permainan dan pakaian yang didermakan oleh komuniti kepada mereka secara percuma.

“Para pelajar juga berjaya mentransformasikan balai raya usang di Kampung Semangat yang telah terbiar selama belasan tahun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI