DIBERI kepercayaan memegang jawatan penting dalam bidang kepimpinan sejak di bangku sekolah telah membentuk jiwa pemimpin dalam diri Muhammad Hakim Mohd. Syafawi yang dedikasinya kini diteruskan di puncak menara gading.
Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Dalam Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, semuanya bermula dengan pendedahan yang diberikan oleh bapanya sejak kecil.
“Bapa saya merupakan seorang guru, jadi sejak kecil saya telah dididik dengan penuh disiplin dan didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan syarahan, debat, syair dan pantun.
“Berdiri di atas pentas melontarkan suara dan pandangan membuatkan saya semakin berani untuk berhadapan dengan orang. Malah sikap kepimpinan juga semakin terserlah,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.
Menginjak ke sekolah menengah, Muhammad Hakim bukan sahaja dilantik sebagai pengawas sekolah, bahkan menggalas beberapa peranan penting seperti Presiden Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Tingkatan Enam Forest Height Seremban dan Pengerusi Sukarelawan Madani Negeri Sembilan yang disandangnya sehingga kini.
“Jawatan-jawatan yang disandang ini mengukuh dan menyerlahkan lagi bakat kepimpinan dalam diri saya serta kerja-kerja dalam sukarelawan.
“Sebagai sukarelawan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, saya sering dijemput untuk menyertai program kepimpinan dan kesukarelawanan seperti membantu membimbing pelajar sekolah,” katanya yang pernah menerima Anugerah Pengetua Pelajar Terbaik Tingkatan 6 (Kepimpinan).
Pemuda berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu kini meneruskan bidang kepimpinan di UIAM dengan memegang jawatan sebagai Pengerusi Sekretariat Mahasiswa Madani Universiti Awam Malaysia dan Pengerusi Kelab Mahasiswa.
Dia memikul amanah besar dalam menggerakkan idea Madani dan wacana minda Madani di universiti awam.
Objektif utamanya adalah untuk menerap semangat insaniah yang tinggi dalam kalangan mahasiswa.
Sepanjang dua tahun melibatkan diri dalam kepimpinan di UIAM, Muhammad Hakim berpeluang mengikut pelbagai program yang memberi impak besar kepada dirinya seperti Asia Youth International Model Of United Nations dan International Young Future Leaders Summit (iFUTURE).
“Ketika mengikuti Asia Youth International Model Of United Nations, saya berpeluang berjumpa dan bertukar pandangan dengan wakil pelajar dari luar negara.
“Manakala menerusi iFUTERE, saya dapat berjumpa dengan wakil-wakil pemimpin di setiap institusi pengajian tinggi awam di negara ini.
“Pengalaman ini cukup bermakna bagi saya, sekali gus mengembangkan lagi sudut pandang saya terhadap kehidupan serta kepimpinan secara keseluruhan,” ujarnya yang merupakan salah seorang penerima Biasiswa Perguruan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Mengulas mengenai pengajiannya sekarang dalam Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling, Muhammad Hakim berkata, itu merupakan cita-citanya sejak kecil kerana sifat pendidik telah diwarisi daripada bapanya yang merupakan seorang guru.
“Sejak kecil, saya sudah didedahkan dengan sekolah dan aktiviti pembelajaran kerana bapa sering melibatkan saya bersama-sama dengan kerjanya.
“Besar harapan saya untuk menjadi pendidik terbaik dengan berbekalkan pengalaman kepimpinan yang telah ditanam sejak di bangku sekolah sehingga ke universiti.
“Walaupun begitu, saya sedar bahawa menjadi pendidik di zaman ini sangat mencabar, apatah lagi guru generasi baharu turut digelar dengan pelbagai tohmahan seperti terlalu manja dan minda cepat ‘koyak’,” ujar
Muhammad Hakim yang berpegang kepada prinsip, ‘cuba sehingga berjaya’.
Tambahnya, zaman beredar begitu juga dengan norma sebagai pendidik, maka ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan.
“Sebagai pendidik, kita perlu sentiasa menggunakan pendekatan sesuai seiring perubahan masa,” katanya.














