Dr. ROZILAWATI (duduk, depan tujuh dari kanan) bersama sebahagian pelajar UIAM dan kakitangan Perhilitan pada Program konservasi Gajah Kita Warisan Kita di UIAM Kampus Indera Mahkota, Kuantan baru-baru ini.

UIAM sebar mesej konservasi gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GAJAH merupakan hidupan liar di negara ini yang memerlukan usaha pemuliharaan berikutan habitatnya yang kian terancam.

Bagi meningkatkan kesedaran pemuliharaan gajah, buat julung kalinya Kuliah Sains Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Indera Mahkota, Kuantan, Pahang mengadakan program konservasi Gajah Kita Warisan Kita sempena Karnival Sains Pahang 2025 baru-baru ini.

Lebih menarik, program dua hari pada 24 dan 25 Oktober itu turut membawa dua ekor gajah denak iaitu Sanum dan Rambai yang dibawa khas daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Temerloh.

Program yang dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim itu mendapat sambutan menggalakkan apabila dihadiri orang ramai.

Menurut Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Rozilawati Shahari, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pemuliharaan Gajah Asia serta melindungi habitat semula jadinya yang semakin terancam.

Di samping itu katanya, penganjuran program itu turut berperanan dalam memupuk minat generasi muda terhadap bidang sains, biodiversiti dan kelestarian alam sekitar, seiring dengan usaha negara ke arah pembangunan mampan.

“Program ini dianjurkan dengan kerjasama strategik dari pelbagai agensi utama termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Jabatan

Perhilitan Negeri Pahang dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah yang turut membawa dua ekor gajah denak, Sanum dan Rambai bagi sesi interaktif bersama pelajar dan pengunjung.

“Keunikan kehadiran gajah ini berjaya menarik perhatian ramai serta memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna mengenai perilaku dan penjagaan gajah,” katanya.

Ujarnya, program itu turut mendapat sokongan dan penajaan EXIM Bank, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Majlis Biodiversiti Negeri Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) Pahang dan syarikat Adabi.

Pengunjung pelbagai usia teruja menyaksikan gajah dan mengambil peluang memberikannya makan.

Tambahnya, bersempena program itu juga diadakan pertandingan mewarna dengan penyertaan pelajar Tabika Kemas daripada seluruh negeri Pahang.

Katanya, slot konservasi gajah yang diadakan sepanjang dua hari program berlangsung mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran hampir 2,000 pelajar sekolah rendah dan menengah dari sekitar negeri Pahang.

Jelasnya, kehadiran komuniti setempat dan ibu bapa, turut memeriahkan suasana program, menjadikannya satu platform penyatuan masyarakat dalam usaha melestarikan alam sekitar.

“Secara keseluruhannya, program Gajah Kita Warisan Kita menjadi simbol komitmen berterusan dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga habitat hutan sebagai rumah utama kepada gajah dan hidupan liar lain.

“Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memupuk rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap alam sekitar, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah, mahasiswa, dan komuniti tempatan agar warisan semula jadi negara terus terpelihara untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Rata-rata pelajar yang ditemui berkata, program ini perlu diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha pulihara gajah.

Wan Nurain Natasha Wan Mohd. Razmin, 22, berkata, program ini amat bermakna kerana memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai gajah dan alam sekitar yang seharusnya terus dilindungi.

Pelajar tahun empat kursus Sains Tumbuhan UIAM itu berkata, kehadiran dua ekor gajah denak juga memberi tarikan dan impak positif kepada pengunjung yang dapat melihat gajah berkenaan, memegang serta memberi makanan.

“Gajah sememangnya menjadi tarikan dan ramai mengambil kesempatan memberi makan gajah denak berkenaan. Perhilitan juga berkongsi pelbagai maklumat mengenai gajah dan menerangkan fungsi gajah-gajah denak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN