fbpx

Seorang maut, bot candat dirempuh bot pelancong di Pulau Perhentian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang nelayan yang patah kaki selepas bot nelayan mereka dirempuh bot pelancong di perairan Pulau Perhentian, Besut hari ini.

BESUT – Seorang nelayan yang baru pulang membawa trip mencandat sotong maut, manakala tiga cedera termasuk dua parah apabila bot mereka naiki dirempuh sebuah bot pelancong di perairan Pulau Perhentian di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 8.15 pagi itu mengorbankan Rahmat Mat Ariffin, 43, akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, sewaktu kejadian, bot dinaiki mangsa bersama 12 lain dalam perjalanan pulang ke Jeti Kampung Nelayan Pulau Perhentian.

“Mangsa dan dua kru bot tersebut baru selesai membawa rombongan 10 pemancing mencandat sotong di sekitar perairan Pulau Perhentian.

“Sebaik di lokasi kejadian, bot mereka telah dilanggar sebuah bot yang sarat membawa 10 pelancong termasuk tiga warga asing yang dalam perjalanan ke Jeti Pulau Perhentian Besar dari Long Beach di sini,” katanya di sini hari ini.

Azrol Anuar berkata, rempuhan itu menyebabkan bot nelayan kelas A terbabit bocor lalu karam.

Tambah beliau, kesemua 10 pelancong termasuk dua kanak-kanak pula terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa (Rahmat) yang meninggal dunia telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut.

“Dua mangsa yang cedera parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama manakala seorang lagi mangsa yang cedera ringan pula dirawat di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian di sini,” katanya.

Azrol Anuar berkata, kes kemalangan dua bot itu telah dirujuk kepada Maritim Malaysia (APMM) untuk siasatan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI