ISU pakaian mencolok mata lebih ke hadapan berbanding perihal kerjaya seni, Amelia berpegang teguh dengan pendirian hidupnya untuk sentiasa menjadi diri sendiri dan tidak hipokrit.
PENGLIBATAN dalam dunia seni seawal usia kanak-kanak secara tidak langsung menjadi asas kukuh buat bekalan pengaruh dan populariti si jelita bernama Amelia Henderson ini.
Meskipun sering ditikam kecaman dan dihimpit kontroversi, perkara tersebut bagaikan ‘angin lalu’ yang tidak langsung mengganggu-gugat gemerlapan karier seni aktres tinggi lampai itu.
Namun hakikat hidup berpandukan budaya dan agama, penampilan Amelia yang saban hari semakin ‘tidak cukup kain’ mudah sahaja mengundang kata nista netizen yang sentiasa memerhati gerak gerinya.

Terbuka
Selesa menjadi diri sendiri, wanita berdarah India-Scotland itu bagaimanapun terbuka menerima kritikan yang dilemparkan netizen terhadap imej seksinya.
Amelia berkata, perkara sedemikian sudah menjadi asam garam sebagai anak seni memandangkan dia seorang individu dikenali ramai.
“Saya terbuka dengan semua komen yang orang berikan pada saya. Dalam masa sama, saya sangat jelas dengan diri saya dan hanya saya yang tahu siapa saya.
“Kadang-kadang terdapat kebenaran dalam komen netizen, namun adakalanya tidak betul.
“Pada akhirnya, mereka tiada pun dengan saya setiap hari dan tidak kenal siapa saya,” ujaranya tegas.
Dalam masa sama, Amelia atau nama lengkapnya Amelia Thripura Henderson itu perlu mempersiapkan diri dan mental dengan segala kecaman yang perlu dihadapinya.
Meskipun begitu, dia tidak pernah berasa rimas dan mengambil semua komen positif yang boleh membentuk dirinya menjadi individu lebih baik.
“Apabila bekerja sebagai seorang figura awam, memang akan ramai orang yang boleh bercakap pasal saya.
“Masuk sahaja ke bidang hiburan, saya perlu bersedia dengan semua kecaman dan kritikan sebegitu,” ujarnya.
Dia juga sudah cukup bersyukur selagi keluarga dan insan tersayang sentiasa memberi sokongan terhadapnya.
“Selagi keluarga saya sayang dan sokong saya, saya bersyukur.
“Tidak mahu hipokrit, inilah diri saya, sekurang-kurangnya saya jujur dengan pendirian sendiri,” jelasnya.
Enggan terlalu larut dalam isu pakaian yang bagai tiada kesudahan, Amelia sempat berkongsikan perkembangan dan perjalanan karier yang kian memuncak.

Masa
Tidak berpaut hanya pada satu cabang seni, Amelia bukan sahaja aktif berlakon bahkan sibuk menguruskan kerja-kerja seninya yang lain seperti podcast dan Studio Sembang selain mengacarakan beberapa program televisyen.
Disoal tentang pengurusan masa meskipun dihimpit kekangan jadual, Amelia bersyukur dan tidak henti-henti berterima kasih kepada pasukan yang menjadi tulang belakang kariernya.
Mengakui dirinya seorang yang workaholic (kuat bekerja), mempunyai sistem sokongan dan pasukan yang hebat di belakangnya menjadikan urusan karier serta kerja seninya berjalan lancar atas garis masa seiring dirancang.
“Sejujurnya, saya pun tak tahu macam mana saya bahagikan masa tetapi apa yang saya boleh katakan, saya ada team yang sangat hebat, inilah rezeki saya mendapat team yang bagus, semua kerja jadi lancar
“Mereka ada dengan saya setiap hari dan membantu saya merealisasikan apa-apa impian yang saya ada dan mahukan,” katanya
Paling utama ujar Amelia, dikelilingi insan yang boleh membantu dan memudahkan setiap kerja supaya berjalan lancar adalah penting demi memanfaatkan masa supaya tidak terbuang sia-sia dek kerana isu remeh temeh.
Anak sulung daripada dua beradik itu juga berkongsi dirinya akan cuba sedaya upaya untuk mengosongkan jadualnya yang sememangnya padat untuk berehat dan memenangkan diri daripada kesibukan kerja.

Kerja kuat
“Sebagai pelakon, saya boleh katakan sibuk itu berfasa, adakalanya saya sangat-sangat sibuk dan ada masa saya kurang sibuk.
“Namun, ada minggu yang saya akan cuba kosongkan jadual saya daripada melakukan kerja-kerja seni untuk betul-betul rehat dan meluangkan masa dengan orang tersayang,” ujarnya.
Bagaimanapun, Amelia berpendapat usia muda adalah waktu yang tepat dia terus bekerja keras dan mencari rezeki selagi mempunyai kudrat selain sentiasa bersyukur masih menjadi permintaan orang ramai.
“Masa saya muda ini saya patut bersyukur masih ada rezeki dan mempunyai tenaga serta kudrat lagi untuk bekerja.
“Jujurnya, setakat ini saya masih belum lagi rasa betul-betul letih mahupun rasa ingin berputus asa kerana penat,” kata Amelia seraya menutup bicara.














