fbpx

Kebolehpasaran graduan aeroangkasa hampir 100 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf pada sidang akhbar selepas Persidangan Antarabangsa Aeroangkasa, Pengurusan Penerbangan dan Rantaian Bekalan Global 2023 (ICAAMGS 2023) di Hotel Everly, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Kadar kebolehpasaran graduan yang menamatkan pengajian di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) mencecah hampir 100 peratus selepas pandemik Covid-19.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, secara purata kira-kira 500 graduan dihasilkan setiap tahun oleh institusi berkenaan dengan trend kebolehpasaran mencapai 96.3 peratus pada tahun 2020.

Katanya, ia diikuti 95.4 peratus pada tahun 2021 dan 96 peratus pada tahun lalu.

“Setakat ini kita ada lebih 1,800 pelajar dan aeroangkasa ini dikategorikan sebagai salah satu daripada TVET (program pendidikan teknikal dan latihan vokasional) berkemahiran tinggi dengan kadar kebolehpasaran hampir mencecah 100 peratus.

“Mara juga merupakan antara institusi yang terkehadapan bagi melatih anak-anak muda dalam industri aeroangkasa terutamanya dalam konteks MRO (maintenance, repair, overhaul) yang bukan sahaja memfokuskan terhadap teori tetapi turut mempunyai jalinan kerjasama dengan sembilan syarikat-syarikat besar yang terlibat dengan industri,” katanya.

Asyraf berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Aeroangkasa, Pengurusan Penerbangan dan Rantaian Bekalan Global (ICAAMGS 2023) anjuran UniKL MIAT yang menghimpunkan ahli akademik, sarjana, pemain industri dan pembuat dasar dari pelbagai sektor berkaitan ekosistem penerbangan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, para pelajar dari UniKL MIAT menerima permintaan yang tinggi dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh pihak industri untuk terus bekerja di lapangan.

Jelasnya lagi, selain mempunyai tahap kemahiran yang tinggi, para pelajar dari program berkenaan juga sudah terbiasa dengan suasana sebenar dalam industri aeroangkasa berdasarkan ekosistem pembelajaran yang diterapkan.

“Sebab itu kita galakkan lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) jangan hanya melihat kepada bidang-bidang konvensional misalnya undang-undang, arkitek, perakaunan atau kedoktoran. Mereka perlu lihat bidang sains yang lebih luas lagi iaitu TVET yang mampu menjanjikan pulangan yang lumayan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI