fbpx

Haree diburu polis terlibat kes samun pelanggan kedai runcit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haree yang dikehendaki selepas terlibat dalam kejadian samun itu

SHAH ALAM – Dua penjenayah yang menyamun dan mencederakan seorang pelanggan kedai runcit warga Bangladesh sehingga tular berjaya dicekup di sekitar daerah ini, kelmarin.

Kedua-dua suspek lelaki berusia 30 an ditahan kira-kira pukul 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, berdasarkan siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 9.40 pagi pada 4 Jun lalu di kawasan lot kedai sekitar Seksyen 31, Kota Kemuning di sini.

Katanya, semasa kejadian suspek telah bertindak memasuki sebuah kedai runcit yang ketika itu terdapat dua pekerja dan seorang pelanggan.

“Suspek pada mulanya mahu membeli minuman keras dan menyatakan akan membayar kemudian namun tidak dibenarkan oleh pekerja kedai tersebut.

“Bagaimanapun, suspek didapati tidak mengendahkannya dan telah mengambil juga minuman keras sebelum mencederakan pelanggan kedai tersebut yang merupakan warga Bangladesh menggunakan sebilah pisau yang diambil dari premis itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, mangsa berusia 34 tahun itu cedera di bahagian leher kiri dengan jumlah kerugian termasuk minuman keras dan wang tunai adalah kira-kira RM400.

Ujar Mohd. Iqbal, semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai dua dan enam rekod jenayah lampau.

“Mereka kini direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Polis kini memburu seorang lagi suspek dikenali R. Harekaran @ Haree, 25, yang beralamat di Taman Sri Muda. Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohammad Khairi di talian 012-2666025,” jelasnya.

Terdahulu tular, video berdurasi lebih seminit memaparkan tiga suspek yang tidak berbaju telah memukul dan mencederakan seorang lelaki sebelum menyamun mangsa. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI