fbpx
Kereta jenis kompak menjadi pilihan anak muda yang ingin mendapatkan kereta pertama. – Gambar hiasan

Kereta kompak pilihan anak muda kerana jimat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kos sara hidup yang menekan masyarakat di negara ini mendorong orang ramai terutamanya golongan muda untuk memilih kenderaan jenis kompak sebagai keperluan pe­ngangkutan.

Kata seorang jurujual kenderaan di Johor Bahru, Amira Rahmat, 36, kereta jenis Perodua Myvi, Axia dan Bezza menjadi pilihan sebagai jalan mengimbangi tekanan ekonomi.

“Sebenarnya, orang muda memilih kereta jenis kompak sebagai keperluan pengangkutan mereka untuk mudah bergerak ke satu tempat ke tempat yang lain.

“Mereka akan memilih kereta yang mesra pengguna iaitu jimat minyak, nampak lebih muda dan memiliki ciri-ciri keselamatan yang baik.

“Sebab itu tiga kereta iaitu Perodua Myvi, Axia serta Bezza menjadi pilihan utama pembeli,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.

Amira yang berpengalaman selama lebih empat tahun sebagai perunding jualan kenderaan berkata, kebanyakan pembeli yang membuat tempahan adalah mereka yang terdiri daripada golongan muda yang kali pertama membeli kereta.

Jelasnya, golongan muda de­ngan pendapatan rendah dan sederhana sebolehnya cuba menjimatkan kos perbelanjaan sara hidup.

“Desakan kenaikan barang keperluan harian lain seperti harga barang meningkat, kos per­belanjaan lain seperti komitmen bulanan kenderaan, kos petrol dan sebagainya juga antara faktor ramai yang membeli kereta kompak.

“Sebagai contoh kalau beli kereta Axia atau Myvi, boleh naik empat ke lima orang, sama sahaja dengan kereta jenama lain yang lebih mahal dan popular tetapi bayaran bulan lebih tinggi,” katanya.

Selain keperluan pengangkutan harian, Amira berkata, pe­langgan yang ditemui juga terdiri daripada individu yang membeli kereta jenis kompak untuk dijadikan kenderaan e-hailing.

Sementara itu, seorang kakitangan di sebuah syarikat kereta terpakai di Kuala Lumpur turut berkongsi bahawa Perodua Axia antara model yang masih tinggi harga pasarannya walaupun sudah bertahun digunakan.

“Axia, Bezza dan Myvi harga memang susah nak jatuh walaupun hutang (pinjaman) dah habis bayar bila jual balik pun masih ada harga tak macam kebanyakan kereta lain.

“Kalau Axia tu keluaran 2018, kalau jual sekarang masih boleh dapat sekitar RM32,000.

“Memang untung guna kereta ni, ramai suka sebab jimat mi­nyak dan tak mudah rosak malah alat ganti pun mudah cari,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN