PETALING JAYA – Pertengkaran selepas pemain bola sepak ingin bertunang dengan wanita lain didakwa menjadi punca perselisihan faham lelaki tersebut dengan teman wanita pada
Rabu lalu.
Menurut sumber, bapa mangsa yang membawa mangsa untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Sumber memberitahu, perselisihan faham itu kemudian membawa kepada pertengkaran sehingga menyebabkan kecederaan kepada wanita berkenaan.
Katanya, bapa wanita itu kemudian membawa mangsa untuk membuat laporan polis susulan kejadian yang berlaku.
“Puncanya disebabkan pemain bola berkenaan akan bertunang tidak lama lagi dan mangsa tak nak kehilangan teman lelakinya itu,” kata sumber kepada Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan seorang pemain bola sepak Liga Super ditahan pihak polis untuk membantu siasatan sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita tempatan berusia 37
tahun berhubung berlakunya perselisihan faham dirinya bersama suspek semalam.
Katanya, laporan dibuat mangsa pada pukul 6 pagi itu memaklumkan perselisihan faham antara dirinya dan suspek berakhir dengan berlakunya beberapa kecederaan.
Mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan kerosakan telefon bimbit miliknya.
“Hasil maklumat dan risikan dijalankan, suspek berjaya ditahan dalam sebuah hotel di daerah ini untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan.
Kejadian itu terbongkar selepas seorang wanita yang juga teman wanita kepada pemain bola sepak membuat pendedahan dan berkongsi beberapa keping gambar membabitkan
kecederaan yang dialaminya di Instagram.
Dalam hantaran tersebut, wanita itu yang juga seorang doktor turut memaklumkan satu laporan polis sudah dibuat selepas mengalami kecederaan dipukul pemain pasukan bola sepak Liga Super itu menerusi hantaran Instagram.
“Didera oleh lelaki yang saya cintai, dulu berjanji setia selamanya sehingga tua, tetapi akhirnya.
“Terkadang wanita boleh jadi bodoh dengan (orang) yang dia sayang, berdiam dan bertahan. Sekarang saya fobia dan trauma,” katanya. -KOSMO! ONLINE
















