fbpx

Skuad B-17 negara akur kekuatan Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN skuad B-17 negara gagal mencipta kejutan selepas tewas 4-1 kepada Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium UiTM, sebentar tadi - FAM

SHAH ALAM – Skuad Bawah 17 Tahun (B-17) negara memperoleh pengajaran berguna selepas alami kekalahan 4-1 kepada Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium UiTM, sebentar tadi.

Ia adalah kekalahan kedua dicatatkan skuad muda negara selepas tunduk 3-2 kepada Uzbekistan dan kerja tambahan menanti pengendali pasukan, Osmera Omaro sebelum hadapi pusingan akhir Piala Asia B-17 di Thailand.

Terdahulu, selepas Nawaf Nasser Albishri membuka jaringan seawal minit keenam, Arab Saudi terus mendominasi permainan dengan menyaksikan pemain negara seperti hilang punca dan dilihat hilang bola terlalu mudah.

Sebaik aksi memasuki minit ke-30, kualiti permainan skuad negara makin berubah jadi lebih baik dan hasilnya, kesilapan penjaga gol lawan, Mahmoud Essa Alburayh dihukum oleh penyerang gantian, Muhamad Dainei Mat Disa yang meledak gol penyamaan pada masa kecederaan.

Kurang seminit selepas aksi bersambung, Nawaf Nasser sekali lagi meletakkan Arab Saudi di depan dan walaupun kekal dengan semangat melawan, kem negara sering kecewa termasuk percubaan Muhamad Dainei yang hanya singgah di palang gol.

Minit ke-65, Arab Saudi bertambah selesa apabila memperoleh gol ketiga menerusi Talal Abubakr diikuti jaringan keempat daripada Amar Hamed pada minit ke-84.

Skuad B-17 negara dijadual berlepas ke Bangkok, Isnin ini bagi hadapi Piala Asia B-17 2023.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Yemen, Thailand dan Laos. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI