fbpx

Dewan Rakyat: Tindakan keterlaluan Jocelyn wajar dikutuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RSN Rayer ketika mengemukakan cadangan pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen diminta bersepakat dalam mengutuk tindakan pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia, yang memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menerusi Peraturan 36 Dewan Rakyat berhubung perkataan yang menaikkan perasaan sakit hati dan bermusuh-musuhan antara kaum.

“Walaupun perkara itu tidak berlaku dalam Dewan, namun memandangkan Dewan Rakyat bersidang, saya berharap pihak-pihak di sebelah sana (pembangkang) juga akan menyokong perkara ini.

“Kita lihat satu video yang tular, seorang pelawak Jocelyn Chia memperlekehkan negara kita dan membuat sindiran dan lawak jenaka yang mengguris hati serta menyinggung perasaan, terutama berkenaan negara kita dan kehilangan pesawat MH370,” katanya pada sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Meskipun Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, sudah membuat permohonan maaf, Rayer berkata, perlu ada gesaan dalam meminta jaminan supaya perkara sedemikian tidak berulang.

“Saya berharap Ahli Parlimen di sebelah sana juga akan bangun bersama-sama, menggunakan kesempatan Parlimen bersidang untuk mengutuk tindakan Jocelyn Chia dan meminta beliau tidak mengulangi kenyataan berkenaan.

“Saya juga mohon agar kerajaan memberikan syor kepada Duta Besar Singapura agar perkara ini tidak akan berulang,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas lawak melampau yang dibuat oleh pelawak yang berasal dari negara itu, Jocelyn Chia.

Gopala Menon dalam kenyataan berkata, Singapura tidak boleh menerima tindakan yang boleh mencetus kemudaratan dan kata-kata Jocelyn itu sama sekali tidak mencerminkan pandangan negara tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI