fbpx

Sanusi nafi desak pinda Perlembagaan tuntut Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi menunjukkan surat permohonan khas Kerajaan Negeri Kedah kepada Kerajaan Persekutuan berkaitan bayaran pajakan Pulau Pinang pada sidang akhbar di Alor Setar, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan dakwaan kononnya beliau mendesak supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda agar Pulau Pinang dapat dikembalikan kepada Kedah.

Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, perkara tersebut tidak pernah diucapkannya termasuk kepada mana-mana portal yang menjadi rujukan kalangan Ahli Parlimen dalam sesi pertanyaan di Dewan Rakyat semalam.

“Lain kali tanya dulu apa yang saya katakan dan saya boleh ‘habaq’ (beritahu). Ini mereka petik portal kononnya saya gesa pinda Perlembagaan supaya Pulau Pinang masuk semula ke Kedah.

“Saya tak pernah kata begitu tetapi semua rujuk situ termasuklah anak ‘Tan Sri’ dan Perdana Menteri. Padahal nombor telefon saya pun meraka tahu, jadi tanyalah saya?

“Asas-asas kerajaan, mana boleh ambil dari portal? Saya boleh jawab telefon, malah WhatsApp pun boleh jawab dan tak kan Perdana Menteri serta Menteri rujuk portal,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman selepas selesai memberi keterangan kepada pihak polis berhubung kenyataannya bahawa Pulau Pinang merupakan milik Kedah.

Sesi pertanyaan lisan oleh Lim Guan Eng (PH-Bagan) terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam menimbulkan kekecohan dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Bercakap mengenai keterangan diberikan kepada pihak berkuasa, Muhammad Sanusi berkata, beliau telah menyerahkan beberapa dokumen berkaitan termasuk perjanjian pajakan Pulau Pinang sebelum ini.

“Mereka cuma tanya kira-kira lima soalan saja dan tak tanya pun tentang pinda Perlembagaan. Itu bukan saya yang kata dan kalau mereka tuduh saya kata, pergi tanya mereka,” ujarnya.

Mengulas mengenai persepsi yang cuba ditimbulkan kononnya Kedah mahu mengambil kembali Pulau Pinang, Muhammad Sanusi berkata, Kedah tidak perlu berbuat demikian kerana tiada apa yang hilang dari negeri berkenaan.

“Ambil semula bermakna kita mendapatkan kembali apa yang telah hilang. Bagi saya, kita tak pernah kehilangan Pulau Pinang sebab mereka bayar pajakan. Apabila dia bayar, itu hak dia atau hak saya? Kita tak pernah hilang (Pulau Pinang) jadi buat apa nak ambil balik?” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI