fbpx

Liga Super: KDA FC benam Perak FC 3-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lee Tuck cuba melepasi pemain Perak FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

ALOR SETAR – Ketiadaan Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain dan Kapten pasukan, Manuel Ott tidak menghalang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk menewaskan Perak FC 3-0 di Stadium Darul Aman, di sini sebentar tadi.

Sebaik pengadil, Ahmad Zuhadi Dzulkifli meniup wisel memulakan permainan, perlawanan nyata terlihat berat sebelah dengan bola lebih banyak berlegar di kawasan pasukan pelawat untuk tempoh 20 minit pertama.

Gol pertama terhasil apabila hantaran lintang Lee Tuck dari sebelah kanan pintu gol lawan berjaya disambar Juraboev di dalam kotak penalti lalu mengelecek penjaga gol pelawat sebelum melakukan tolakan ke arah pintu gol Perak FC.

Memasuki babak kedua, penguasaan Kedah berterusan dengan hanya lapan minit perlawanan bersambung, Sang Kenari memperoleh gol kedua, juga menerusi gandingan Lee Tuck dan Juraboev.

Gol terhasil apabila hantaran lintang dilakukan Lee Tuck tiba tepat ke kepala Juraboev yang melakukan tandukan kencang masuk ke gawang meskipun dapat ditampan Shaheeswaran menggunakan tangan kirinya.

Pintu gol Perak bagaimanapun bocor lagi seminit kemudian apabila sepakan sudut diambil Hidalgo singgah tepat ke kepala Lira untuk penyerang dari Brazil itu menanduk masuk bola bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Tampak yakin dengan aksi dipamerkan, penolong ketua jurulatih, Victor Andrag yang mengendalikan pasukan berikutan ketiadaan Nafuzi merehatkan Juraboev serta ‘kereta kebal’ pasukan itu di barisan pertahanan, Bojan Ciger pada minit ke-75 untuk digantikan dengan Jonathan Ballotelli serta Akmal Zahir.

Perubahan itu tampak memberi sedikit ruang untuk pasukan pelawat ‘bernafas’ dan mengatur serangan namun tidak banyak yang mampu dilakukan anak-anak buah Yusri Che Lah apabila kedudukan kekal 3-0 menyebelahi tuan rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI