fbpx

Perarakan kenderaan mewah, motosikal WMGS meriahkan majlis konvokesyen Madrasah An-Nuur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian graduan yang diarak bersempena konvoksyen Madrasah An-Nuur di Kesang Laut Tangkak baru-baru ini.

PETALING JAYA – Madrasah An-Nuur (MAN) tidak mahu dikenali sebagai pusat tahfiz konvensional seperti yang banyak terdapat di negara ini tetapi ia mahu mengangkat martabatnya sebagai sebuah institusi pendidikan yang mampu melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang keagamaan.

Bersesuaian dengan misi tersebut, penganjuran majlis istiadat konvokesyen di institusi tersebut dibuat dengan lebih berbeza, bergaya dan memberi pengalaman unik kepada para graduan yang diraikan di majlis tersebut yang diadakan di Kompleks Aman Kesang Laut Tangkak, Johor.

Pada majlis berkenaan, seramai 77 graduan daripada semua program pengajian telah diraikan dalam satu majlis konvokesyen dengan perarakan sepanjang tujuh kilometer dengan menaiki 15 buah kenderaan mewah dan 15 motosikal berkuasa tinggi daripada Kumpulan Wings Motor Gang Society (WMGS).

Pengasas dan pengetua MAN, Noor Effendi Hamid berkata, sejak penubuhan institusi tersebut pada tahun 2000 hingga ke hari ini, ia telah berjaya melahirkan seramai 579 graduan huffaz yang kini sudah melanjut pelajaran ke tahap seterusnya di dalam dan luar negara samada dalam bidang agama mahupun profesional.

“Majlis kali ini lebih meriah kerana kami mahu meraikan graduan yang telah bertungkus lumus berusaha untuk sampai ke peringkat ini. Ia akan memberi pengalaman menarik buat mereka selepas keluarnya daripada MAN.

“Dalam masa yang sama, kami berharap para pelajar lain lebih bersemangat untuk menjejaki hasil usaha graduan yang sudah berjaya ini,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Effendi menjelaskan, majlis konvokesyen  tersebut telah disempurnakan oleh Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Penganugerah guru cemerlang telah disampaikan kepada Firdaus Tuah dan  Nor Jannah Omar pula telah dinobatkan sebagai penerima anugerah guru cemerlang yang gigih manakala Ummu Salamah Zahar menerima anugerah cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 Selain itu, MAN telah bekerjasama dengan syarikat Mizwah Travel & Tours untuk menyediakan pakej  umrah dengan perkhidmatan mutawif berpengalaman  kepada masyarakat di negara ini.  -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI