fbpx

Lelaki hantuk kepala isteri tolak hubungan kelamin didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya sehingga parah dengan menghantukkan kepala ke hidung mangsa gara-gara menolak untuk melakukan hubungan seks.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap isterinya dengan cara menghantukkan kepala ke hidung mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Perdana, dalam daerah Melaka Tengah pada 12 Februari 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menakutkan mangsa sama secara jenayah dengan kata-kata ugutan akan membunuhnya pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas tertuduh berang apabila mangsa menolak ajakannya untuk melakukan hubungan seks.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon jaminan tidak dibenarkan bagi pertuduhan pertama sebagaimana diperuntukan di bawah seksyen, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan RM20,000 diberikan.

Beliau turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri pada setiap 1 hari bulan di balai polis berdekatan, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tidak menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Ishak Mohd. Kari yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya baharu sahaja mendapat pekerjaan sebagai mekanik pada 1 Jun lalu dengan gaji sebanyak RM2,000 sebulan.

Tambahnya, tertuduh juga menanggung mempunyai empat orang anak berusia antara 10 tahun sehingga dua tahun, selain mangsa telah memfailkan tuntutan perceraian secara fasakh di Mahkamah Syariah di sini.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Darmafikri membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan. Beliau kemudian menetapkan 10 Julai depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI