fbpx
Lionel Messi

Ke mana Messi selepas ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMAI peminat bola sepak ingin mengetahui ke mana destinasi baharu pemain terbaik dunia yang juga pemenang Piala Dunia 2022, Lionel Messi pada musim depan.

Messi disahkan oleh ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Christophe Galtier akan meninggalkan kelab mewah itu apabila kontraknya tamat pada 30 Jun ini.

Bagaimanapun, PSG menafikan Messi meninggalkan Kota Paris, malah pemenang tujuh Ballon d’Or terlibat dalam klip video promosi jersi baharu Les Parisiens musim depan bersama Kylian Mbappe dan Neymar.

Hakikatnya, hubungan Messi dengan hierarki kelab dikatakan keruh apabila dia digantung selama dua minggu susulan pergi ke Arab Saudi tanpa kebenaran, malah dalam perlawanan selepas penggantungan, dia diejek para penyokong sendiri.

Kenapa Messi tiba-tiba berkunjung ke Arab Saudi? Apakah ingin bertemu dengan seteru lama, Cristiano Ronaldo yang beraksi bersama kelab gergasi Arab Saudi, Al-Nassr ketika ini atau ada urusan lain dilakukannya?

Terdahulu, Messi yang berusia 35 tahun telah meninggalkan Barcelona pada 2021 disebabkan masalah kewangan The Catalans, namun untuk kembali ke Nou Camp di mana kapten Argentina itu merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Barca dengan 672 gol dalam 778 perlawanan, mungkin bukan pilihan terbaik.

Ketua jurulatih Barcelona yang juga bekas rakan sepasukannya, Xavi Hernandez sememangnya berharap kepulangan Messi sambil mengesahkan pengurusan tertinggi Barca sedang gigih berusaha membawanya kembali ke kancah La Liga.

Namun, masalahnya Barcelona mempunyai jumlah gaji kira-kira £530 juta (RM3.02 bilion) dan kelab gergasi Sepanyol itu harus mengurangkan jumlah tersebut sekurang-kurangnya kepada £177 juta (RM1 bilion).

Messi juga telah menarik minat pasukan Inter Miami yang bersaing pada Liga Bola Sepak Major (MLS) Amerika Syarikat, namun tawaran lumayan berjumlah £350 juta (RM1.99 bilion) untuk berhijrah ke Liga Pro

Arab Saudi bersama Al-Hilal selama setahun tidak boleh diabaikan sementelah usianya sudah 35 tahun.

Menurut El Chiringuito, tawaran £350 juta setahun bakal menyaksikan Messi ‘knock out’ Ronaldo daripada senarai teratas Forbes atlet gaji tertinggi dunia.

Bagaimanapun, kem Messi menerusi bapanya dan ejen Jorge menafikan sebarang perjanjian termeterai bahkan Al-Hilal juga bernada sama.

Justeru, ke mana destinasi baharu akan disinggahi Messi pada penghujung kariernya sebagai pemain bola sepak tersohor dunia?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN