fbpx

KKM teliti semula isu kekurangan doktor, jururawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaliha (kiri) melawat kaunter pendaftaran selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Mata Ayer, Machang hari ini. - Foto oleh ROSMIZAN RESDI / KOSMO!

MACHANG – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti semula isu kekurangan petugas termasuk doktor dan jururawat di hospital atau klinik kerajaan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau mengakui masalah kekurangan petugas KKM berlaku secara keseluruhan dan bukan hanya melibatkan hospital tertentu sahaja.

Menurutnya, keperluan penempatan petugas juga akan dikenal pasti bagi mengelakkan daripada berlaku lebihan petugas di sesebuah hospital atau klinik kerajaan.

“Kita mengenal pasti ada masalah kekurangan petugas. KKM sendiri sedang meneliti dan sudah membuat ‘mapping’ (pemetaan) mengenai keperluan-keperluan doktor di setiap hospital.

“Jadi, kita memang mengambil berat mengenai isu tersebut dan akan mengambil tindakan segera,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Mata Ayer di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kekurangan seramai hampir 2,800 kakitangan kesihatan terutamanya doktor dan jururawat yang dihadapi oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ketika ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status bagi Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang berstatus kontrak, Zaliha berkata, pihaknya akan melanjutkan tempoh kontrak selama setahun lagi kepada mereka yang terlibat.

Katanya, petugas yang berstatus kontrak itu akan diserap ke jawatan tetap sekiranya terdapat kekosongan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI