PUTRAJAYA – Hospital kerajaan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor kini menjadi tempat si tanggang moden untuk ‘membuang’ ibu bapa selepas tidak lagi mahu menjaga mereka.
Modus operandi yang dilakukan dengan berlakon kononnya membawa ibu atau bapa yang sakit ke hospital bagi mendapatkan rawatan, namun akhirnya meninggalkan mereka.
Malah, ada anak yang berbuat demikian selepas membolot harta ibu bapa.
Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Muhammad Syafiq Mohiadin berkata, kegiatan itu berlaku sejak lima tahun lalu dan trendnya dilihat semakin meningkat.
Menurutnya, pihak hospital terpaksa mendapatkan bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) termasuk pihaknya sendiri bagi menempatkan golongan malang yang ditinggalkan anak-anak selepas selesai menerima rawatan.
“Pada awalnya, mereka menghantar ibu atau bapa untuk dirawat, tetapi selepas itu terus ‘ghaib’. Keadaan itu telah menyukarkan pihak hospital untuk mencari waris bagi urusan ‘discaj’ atau proses selanjutnya.
“Jadi, pihak hospital terpaksa menghubungi NGO untuk membantu golongan tersebut kerana mereka sudah lama berada di wad.
“Sebenarnya, kes ini serius kerana ia turut menyumbang kepada peningkatan penggunaan katil di hospital-hospital kerajaan apabila pesakit yang sudah tidak lagi sakit masih lagi berada di hospital,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Muhammad Syafiq memberitahu, trend pembuangan ibu bapa dilihat terus meningkat apabila pihaknya sentiasa menerima panggilan daripada jabatan kerja sosial perubatan hospital bagi permohonan penempatan.

“Jujurnya, kami menerima kira-kira dua panggilan rasmi daripada hospital seluruh negara setiap hari bagi menempatkan individu terlibat dan dalam tempoh sebulan, jumlahnya hampir mencecah 60 panggilan.
“Sebelum ini, jumlahnya hanya 30 panggilan dalam sebulan, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia mampu mencecah sehingga 60 permohonan penempatan sebulan.
“Selain panggilan rasmi hospital, kami menerima permohonan daripada individu yang mahu menempatkan ibu bapa mereka selepas tidak lagi mampu membela warga emas berkenaan,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai punca warga emas diabaikan waris mereka, Muhammad Syafiq berkata, ia melibatkan pelbagai faktor termasuk dibuang keluarga selepas menyerahkan segala harta benda.
“Antara kes kami pernah terima melibatkan seorang individu bergelar Tan Sri yang mana dia diabaikan keluarganya ketika sakit selepas menyerahkan segala harta termasuk stesen minyak kepada anak-anaknya.
“Selain itu, ada juga kes apabila anak-anak tidak lagi mampu menjaga ibu bapa kerana menghidap penyakit kronik, tidak mempunyai persefahaman dengan menantu, dibenci anak sendiri serta golongan mualaf.
“Tidak terkecuali, sikap buruk ibu bapa ketika muda turut menyebabkan anak-anak berdendam, seterusnya tidak mahu berbakti menjaga mereka ketika meniti usia tua,” ujarnya.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman pula berkata, pihaknya kini melindungi seramai 45 warga emas, mualaf dan mereka yang hidup sebatang kara.
“Buat masa ini, itu sahaja kemampuan kami kerana kekangan kewangan meskipun menerima panggilan hampir setiap hari daripada hospital untuk menempatkan warga emas.
“Memandangkan pertubuhan ini dikategorikan sebagai NGO, kami perlu menyediakan kos operasi sekitar RM65,000 sebulan bagi membeli makanan, lampin pakai buang, ubat-ubatan serta membayar gaji 15 petugas.
“Biasanya, dana itu akan diperoleh daripada syarikat korporat dan sumbangan individu yang mahu membantu selain menerima sumbangan tahunan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Lembaga Zakat Selangor,” katanya.
Bagaimanapun, Azman berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai bagi menyediakan dana tahunan sekitar RM780,000, seterusnya membolehkan lebih ramai individu khususnya warga emas yang diabaikan anak-anak diberi perlindungan.
















