fbpx

Tidak mustahil Pas sapu bersih 45 kerusi PRN ini – Pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

SEBELUM Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu, kerajaan di enam buah ne­geri membuat keputusan untuk menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri masing-masing.

Situasi itu menyebabkan ­Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang perlu menjalani Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Berdasarkan laporan, tarikh luput bagi DUN di Selangor pada 25 Jun ini, Kelantan (26 Jun), Terengganu (30 Jun), Negeri Sembilan (2 Julai), Kedah (4 Julai) dan Pulau Pinang (3 Ogos).

Menyentuh mengenai Kelantan, Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini memaklumkan, beliau akan menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bulan ini untuk mendapat perkenan mengenai pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada proses PRN.

Kelantan merupakan antara negeri tumpuan bagi PRN kali ini apabila banyak cakap-cakap dan pendapat yang menjangkakan Pas akan menyapu bersih kese­mua 45 kerusi DUN di negeri itu.

Ramai beranggapan, Pas yang merupakan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) akan menang mudah apabila mereka kekal menggunakan simbol bulan pada PRN kali ini.

Strategi tersebut tampak berhasil pada PRU15 apabila PN menyapu bersih 14 kerusi Parlimen sekali gus memecahkan kubu kuat pemimpin UMNO atau Barisan Nasional (BN) seperti di Ketereh dan Gua Musang.

Mengulas mengenai PRN di Kelantan, Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd. Muis berkata, Pas merupakan satu parti ‘satelit’ kerana akar umbi, sokongan dan pemberitaan me­ngenai mereka ada di mana-mana sahaja di segenap pelosok negeri terbabit.

Menurutnya, bagaimanapun, kenyataan yang mengatakan Pas atau PN bakal menyapu bersih 45 kerusi DUN di Kelantan disifatkan terlalu idealistik, namun ia tidak mustahil untuk berlaku.

“Meskipun kerajaan negeri dilihat gagal menyelesaikan masalah air sejak puluhan tahun, kronisme dalam syarikat berkaitan kerajaan dan pemba­ngunan yang tidak cekap, kita tahu sokongan rakyat Kelantan tetap pada Pas.

“Tetapi, harus diingat bahawa Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi BN dan Pakatan Harapan (PH) pastinya akan menggunakan kelebihan mereka yang memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan ketika ini,” katanya baru-baru ini.

Katanya, Kerajaan Perpaduan dilihat boleh menggugat kestabilan politik Pas di Kelantan sekiranya mempunyai tokoh atau ikon di negeri terbabit.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, BN dan PH masih belum ada calon atau muka yang mampu menambat hati rakyat Kelantan untuk membuat hayunan undi ke arah mereka PRN nanti.

“Sebelum ini, UMNO mempunyai aset iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kelantan. Kini, tokoh itu sudah bersama PN.

“Tokoh dan ikon yang berwibawa daripada Kerajaan Perpaduan dilihat mampu memberi saingan kepada Pas terutamanya di Kelantan. “Jika tidak, Pas dan PN berkemungkinan besar akan mengekalkan status quo mereka di negeri Cik Siti Wan Kembang itu selepas PRN.

“Politik di Kelantan berbeza kerana ia melibatkan 95 peratus Melayu. Kerajaan Perpaduan seharusnya sudah memikirkan cara untuk membentuk pemim­pin yang disegani ramai sekiranya mahu turun untuk berperang pada PRN nanti,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI