fbpx

Pemandu lori mengaku tak salah bantu pindah barang curi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gemas atas tuduhan membantu memindahkan barang curi. -Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!

TAMPIN – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gemas, di sini, hari ini atas tuduhan membantu memindahkan barang curi bernilai RM60,000 dalam kejadian di Gemas, bulan lalu.

Tertuduh, P Ganggu Naidu, 51, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan, pada 12 Mei lalu kira-kira pukul 5.35 pagi di Pusat Perniagaan Mewah, dengan sengaja telah menolong memindahkan harta yang ada sebab mempercayai sebagai harta curi iaitu penghawa dingin.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga tempoh tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, pada tarikh dan masa yang sama, pengadu yang ketika itu berada di rumah telah menerima panggilan talefon dari pekerjanya memaklumkan kedai yang menjual penghawa dingin telah dipecah masuk pencuri.

Hasil siasatan mendapati beberapa orang lelaki menaiki lori bonded berwarna putih melarikan penghawa dingin milik pengadu dan pengadu mengalami kerugian kira-kira RM60,000.

Tertuduh telah menyewa sebuah lori daripada individu lain mulai 28 April hingga 30 April, namun lori yang disewa berkenaan masih belum dipulangkan kepada syarikat sewa kenderaan sehingga kejadian kecurian berlaku.

Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng, menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon supaya wang jaminan dikurangkan berikutan perlu menyara empat orang anak selain dia mempunyai masalah kesihatan.

Majistret kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 6,000 dan sebutan semula pada 6 Julai ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI