fbpx

Norazan ‘Sting’ buktikan juruterbang TUDM aset berharga negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Norazan miliki pengalaman luas mengendalikan pelbagai pesawat TUDM.

SINONIM dengan pertunjukan udara, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bukan hanya ditugaskan untuk melakukan aksi aerobatik pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA), malah bersedia setiap masa bagi menjaga kedaulatan negara.

Pengalaman dan keupayaan dikongsikan salah seorang juruterbang TUDM, Leftenan Kolonel Mohd. Norazan Othman, 44, membuktikan bahawa juruterbang TUDM sepertinya adalah aset negara yang tidak ternilai.

Beliau yang telah 25 tahun berkhidmat untuk TUDM memulakan kerjayanya dari tahun 1997 dan kini bertugas di Markas Tentera Udara.

Mohd. Norazan berpengalaman menerbangkan pesawat Aermacchi MB-339A di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang sebelum terpilih untuk menerbangkan pesawat legasi, MIG-29N Fulcrum yang berpangkalan di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

Kini, beliau menerbangkan pesawat Sukhoi Su-30MKM yang diterima TUDM pada tahun 2007 di Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu sehingga 2020.

Juruterbang yang turut dikenali sebagai Sting telah diberi kepercayaan untuk menjalani kursus jurulatih di Central Flying School yang dikendalikan oleh Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dan kursus juruterbang penguji pesawat di International Test Pilots School, Kanada.

Apabila kembali ke tanah air, beliau melakukan tugasan operasi seperti anggota TUDM yang lain di samping turut melakukan aksi aerobatik pada LIMA sejak 2015 dengan menggunakan pesawat Sukhoi Su-30MKM.

Jelasnya, TUDM tidak mempunyai pasukan aerobatiknya sendiri dan semua pesawat yang digunakan semasa LIMA akan terus terbang keluar untuk menjalankan operasi sekiranya ada keperluan mendesak.

“TUDM ada banyak aset lain yang digunakan semasa pertunjukan udara di LIMA, namun juruterbang yang sama bukan sahaja mampu melakukan aksi tersebut, tetapi mereka juga sentiasa bersedia untuk dipanggil menjalankan operasi.

“Melakukan dua perkara serentak dalam satu masa ini tidak mudah, kerana ia memerlukan kesabaran, keazaman dan fokus yang betul. Sekiranya kita hilang fokus terutamanya ketika persembahan udara akan menyebabkan kemalangan berlaku,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana berkhidmat dalam zaman peralihan  daripada analog kepada digital dan pernah menerbangkan pesawat yang menggunakan sistem analog dan sistem digital.

“Kita sedang bergerak ke arah semua gajet diletakkan di dalam pesawat. Saya menerbangkan MIG-29N dengan pesawat menggunakan sistem analog dan kita nampak meter pada pesawat, tetapi pesawat Sukhoi mempunyai paparan skrin untuk sistem navigasi,” jelasnya.

Tambah beliau, juruterbang TUDM termasuk juruterbang penguji pesawat sepertinya juga tidak lari daripada cabaran perubahan teknologi.

“Kita sedang bergerak ke arah teknologi digital dan semua gajet diletakkan di dalam pesawat.

“Saya menerbangkan MIG-29N dengan pesawat menggunakan sistem analog dan kita nampak meter pada pesawat, tetapi pesawat Sukhoi mempunyai paparan skrin untuk sistem navigasi,” jelasnya.  -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI