SHAH ALAM – Penantian 10 tahun bagi pasangan suami isteri nyata berbalas apabila ‘dijemput’ menjadi tetamu Allah pada musim haji kali ini.
Lebih manis, panggilan haji itu diterima pada 10 malam terakhir Ramadan lalu yang dianggap sebagai ‘hadiah’ lailatulqadar.
Pasangan itu, Ahmad Khairi Mohamad, 50, dan Siti Rozana Nazmi, 49, bersyukur dan teruja untuk beribadat dengan tiga anak telah besar serta berusia 16 hingga 24 tahun.
Siti Rozana berkata, dia menganggap itu adalah rezeki mereka apabila telah merayu sejak 10 tahun lalu dan ‘dijemput’ ketika masih sihat dan bertenaga.
“Kami telah lima kali merayu. Alhamdulillah, bersyukur sangat apabila saya dan suami menjadi tetamu Allah kali ini.
“Walaupun lutut sudah mula sakit, namun sentiasa berdoa agar diberi kesihatan sepanjang berada di Mekah selain memperoleh haji yang mabrur,” katanya di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai persediaan yang dibuat, katanya, dia berharap dirinya sentiasa tenang dan bersabar dengan limpahan umat Islam lain yang turut hadir bagi mencari keredaan Allah.
“Kursus haji yang telah dilakukan sebelum ini mendedahkan sedikit sebanyak gambaran suasana ibadah ini.
“Apa pun ujian yang mendatang saya dan suami reda dan bertekad untuk menjadi tetamu Allah pada usia muda,” jelasnya.















