fbpx

Fail nusyuz bukan mahu burukkan keadaan – Farid Kamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARI ini, Farid dan Diana melalui dua prosiding, pertama mengenai tuntutan hak penjagaan anak dan kedua, sebutan pertama kes nusyuz serta laporan JKP.

PETALING JAYA – Pelakon Farid Kamil menegaskan tuntutan nusyuz yang difailkan terhadap isterinya Diana Danielle bukan berniat untuk memburukkan lagi situasi tegang yang melanda rumah tangganya.

Pemilik nama penuh Farid Kamil Zahari itu sebaliknya berkata, tuntutan tersebut dilakukan bagi menegakkan haknya sebagai seorang suami mengikut hukum Islam.

“Mengenai tuntutan nusyuz, saya failkan bukan kerana ingin memburukkan keadaan tetapi mempertahankan hak saya sebagai seorang suami.

“Dalam hukum hakam Islam, perkara itu boleh diguna pakai,” katanya kepada Kosmo! Online selepas prosiding laporan JKP dan sebutan pertama nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini hari ini.

Pelakon filem Legenda Budak Setan memberitahu, kehadirannya ibu bapanya, Datuk Dr. Zahari Che Dan Datin Sharifah Bardah sebagai tanda sokongan kepadanya berusaha mempertahankan rumah tangga ketika ini.

“Mereka datang dari Kedah beri sokongan dan mendoakan terbaik untuk perkahwinan anaknya.

“Insya-Allah, 3 Jun depan anak-anak saya iaitu Muhammad dan Aurora akan bertemu dan habiskan masa dengan datuk neneknya,” ujar Farid.

Kata Farid, Diana tidak bertemu dan bersalaman dengan ibu dan bapa mentua yang turut berada di mahkamah hari ini.

“Dia tidak bertemu dan bersalam. Mungkin dia tak nampak dan mungkin dia tak perasan. Saya pun tak pastilah,” kongsinya.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Diana iaitu Azmi Mohd Rais memberitahu, Farid telah memfailkan perintah kembali taat dan tuntutan sabitan nusyuz terhadap Diana.

“Hari ini saya sudah kemukan bantahan awal dan pihak peguam yang mewakili Farid bersetuju untuk gugurkan tuntutan kembali taat.

“Kini hanya tuntutan nusyuz sahaja yang perlu dijawab Diana. Saya perlu berbincang terlebih dahulu dengan Diana untuk membincangkan jawapan bagi dakwaan nusyuz yang difailkan oleh suaminya itu,” ujarnya.

Terdahulu, peguam syarie mewakili Farid iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan memberitahu pihaknya telah memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Diana berikutan Farid tidak dibenarkan pulang ke rumah kelamin dan dakwaan tidak boleh menjalankan tanggungjawab sebagai suami pada 6 April lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Jun sebagai tarikh prosiding hakam kerabat bagi pasangan terbabit.

Mahkamah juga memutuskan laporan JKP pasangan tersebut menemui jalan buntu susulan berlaku syiqaq (perbalahan) berpanjangan, sementara Farid kekal enggan melafazkan talak kerana percaya rumah tangganya masih boleh diselamatkan.

Pada 28 Mac lalu, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shukran Yusof, menasihatkan Farid dan Diana berdamai bagi mengislahkan atau memperbaiki keadaan untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai.

Alasan yang diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – KOSMO! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI