SATU perihal yang tak masuk akal buat sosok bernama Joe Flizzow, dia terpaksa menunggu 15 tahun untuk mengadakan sebuah konsert solo pertama.
Merupakan antara pelopor muzik hip- hop negara, Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak mempunyai alasan tersendiri mengapa sebuah persembahan berskala konsert solo tidak direalisasikan lebih awal dalam deras karier muziknya.
Selain segelintir penganjur menganaktirikan artis tempatan dengan memberi terlalu banyak ruang buat artis luar negara bikin konsert, Joe sendiri ada dua alasan lain yang mengekang dirinya mengadakan konsert solo.
Intimasi dengan audiens
Pertamanya, dia bagaikan baru tersedar bahawa sesebuah konsert boleh dianjurkan dengan kudrat sendiri.
Kedua, kecenderungan melunaskan tanggungjawab buat industri muzik, khususnys hip-hop membataskan keterujaanya membikin konsert.
“Mungkin kita terlalu selesa menunggu pelawaan atau kunjungan orang. Lama-lama saya sedar, kenapa kita tak anjurkan (konsert) sendiri padahal kalau buat sendiri, kita lagi proaktif.
“Lima tahun terakhir, konsert yang saya buat adalah 16 Baris. Saya boleh sahaja buat konsert solo tetapi waktu itu, industri lebih memerlukan lebih banyak artis.

“Jadi, kita bina jenama 16 Baris dan kemudian, semua sumber dan tenaga ditumpukan buat konsert 16 Baris. Saya kongsikan pentas dengan 40 lagi artis dalam konsert tersebut.
“Sekarang adalah waktu yang tepat untuk saya adakan konsert solo selepas jalur muzik hip hop sekarang dah stabil. Boleh fikir pasal diri sendiri sekejap,” kata Joe yang bakal menjayakan Joe Flizzow – This is Johan Live In Concert di JioSpace pada 15 Julai depan.
Berbicara lanjut tentang konsert berkenaan, anak seni kelahiran Johor Bahru, Johor itu menjanjikan kepuasan luar biasa buat peminat yang hadir.
“Saya inginkan konsert yang ada intimasi dengan audiens walaupun venue agak besar.
“Apa yang saya boleh kongsi sekarang, persembahan akan terbahagi kepada dua segmen.
“Akan ada elemen dramatik, ada instrumen dan muzik string macam persembahan Satu Malam Di Temasik pada AJL lalu,” tutur Joe.
Ditanya tentang artis undangan yang akan memeriahkan pentas, Joe menyebut beberapa nama yang sinonim dengannya seperti DJ CZA dan SonaOne.
‘Kembar’ Joe iaitu Malique yang lama sudah tersisa daripada kaca mata khalayak tetap tidak akan membuat kemunculan pada konsert nanti. Joe mempunyai sebab mengapa itu hanya impian yang tidak akan menjadi nyata.
‘Pergi cari Malique’
“Saya di sini, kalian pergi cari dia (Malique),” ujarnya.
Joe yang baru sahaja muncul dengan single terbaharu berjudul Sunyi menegaskan, hubungan dengan Malique tidak pernah ‘perang’, namun kedua-dua sahaja miliki haluan.
“Saya punya 50 peratus, saya dah letak.
“Selebihnya, terpulanglah saya tak boleh cakap bagi pihak dia. Saya pun tak rasa dia (Malique) nak bercakap (tentang perkara ini),” katanya kepada HibGlam.
Joe juga tidak berasakan Malique ingin berkongsi pentasnya dengannya buat masa sekarang.
Bagaimanapun, dia yakin kolaborasi antara mereka boleh tercetus atau bermula menerusi rakaman lagu.
“Lebih munasabah kalau kami mula dengan satu lagu. Nak jemput dia berkongsi pentas dengan saya dalam konsert buat seseorang yang dah lama tak ‘perform’ depan khalayak ramai, saya tak rasa dia ingin.
“Saya rasa kalau dia nak buat kemunculan semula sebagai penghibur, saya rasa dia akan buat solo sebagai Malique.
“Dia pun dah bina jenama sendiri sebagai artis solo. Lebih munasabah kalau dia kembali dalam industri sebagai Malique, bukan Too Phat,” ujarnya.
Ditanya sama ada masih berhubung dengan Malique yang sudah lama hilang dari radar dunia muzik, jawab Joe: “Saya sudah lama tidak jumpa dia. Sejak pandemik lagi (jumpa berhubung).
“Tak pernah ada ‘bad blood’ antara kami. Saya sekarang sedang usahakan satu projek yang memerlukan kerjasamanya.
“Sebenarnya, Too Phat ada projek akan datang yang saya tak boleh kongsi buat masa sekarang.”
‘AJL dah tak relevan’
Suami kepada wanita bernama Marini Ramlan itu turut menzahirkan buah fikirannya tentang acara Anugerah Juara Lagu (AJL) yang disifatkan tidak lagi relevan. Zaman juga sudah berubah.
Penyanyi rap tersohor tanah air itu tidak menolak kemungkinan mahu ‘bersara’ daripada menyertai acara berkenaan.
Atas alasan keyakinan tersebut, dia bercadang untuk tidak lagi bertanding dalam AJL untuk edisi akan datang. Katanya, kalau ikut hati, itu yang ingin dilakukan.

“Sebenarnya, saya tak nak bertanding dalam AJL untuk Satu Malam Di Temasek. Boleh tanya pengurus saya. Dia saksi. Sumpah demi nama Allah, saya tak nak masuk.
“Tapi pengurus saya cakap: the team has worked so hard (pasukan dah kerja sangat keras). Saya macam okey dan buat sahaja untuk team,” katanya.
Kata Joe, acara muzik berkenaan sudah tidak lagi relevan pada masa sekarang.
“Untuk kebanyakan orang, AJL adalah ‘piala dunia’. Bagi saya, pertandingan itu hanyalah another Sunday (Ahad yang biasa).
“Saya tak pernah faham konsep pertandingan tersebut.
“Realitinya, ketika era 1980-an, pertandingan nyanyian paling hebat adalah Bintang RTM. TV3 perlukan program untuk kalahkan Bintang RTM (dari segi rating).
“Selepas berpuluh tahun, adakah AJL masih relevan? Siti Nurhaliza dah tak sertai AJL lagi. Sebab, dia tahu kenapa. Siapa yang boleh hakimi dia,” katanya.
‘Saya dah tak patut sertai’
Ujar Joe penuh sinis, tiada negara luar yang buat pertandingan seperti apa yang dipaparkan dalam AJL.
“Negara mana yang buat macam Malaysia? Adakah Amerika, Korea, United Kingdom atau Indonesia ada ‘benda’ macam AJL. Mana ada, kenapa kita kena buat.
“Tempoh hari (AJL tahun ini). Siti sendiri cakap siapa sebenarnya yang patut menang (ketawa).
“Tentang sama ada saya nak sertai lagi AJL atau tidak, entahlah.
“Saya rasa saya tak patut dah sertai. Orang tak boleh bandingkan ‘singa’ dengan manusia.
“Muzik rap berbeza dengan yang lain,” ujarnya penuh maksud mendalam.
Tambah Joe dengan nada yang masih sinikal, AJL sudah tersasar jauh daripada motif asalnya.
“Mereka cakap AJL untuk komposer dan penulis lirik. Kalau begitu, kenapa tak pasang lagu sahaja. Tak payah bertanding.
“Lagu pun memang dah dirakam di studio. Saya tak faham sampai sekarang, macam mana lagu nasyid bertanding dengan lagu rock? Bandingkan antara buah epal dan oren,” ulas Joe menggulung perbualan.














