fbpx

40 PATI cuba keluar Malaysia secara haram ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot yang membawa PATI di perairan Tanjung Beting Beras Basah, Bagan Datuk, semalam.

BAGAN DATUK – Hasrat 40 warga Indonesia untuk pulang ke negara asal secara haram tidak kesampaian apabila bot dinaiki terkandas akibat mengalami kerosakan enjin, dekat sini, pagi semalam.

Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu termasuk seorang tekong dan dua pembantunya kemudian ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) hasil maklumat orang ramai.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, berkata polis menerima maklumat kehadiran sebuah bot kayu ‘Pom Pom’ dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 10 pagi.

“Maklumat awal menyatakan bot yang membawa muatan warga asing itu dikesan hanyut sejak pukul 8 pagi dan dikesan berada pada jarak 1.1 batu nautika dari pesisir pantai Tanjung Beting Beras Basah, Bagan Datuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, PPM yang ditugaskan ke lokasi kejadian kemudian mengesahkan terdapat 40 orang di dalam bot tersebut terdiri daripada 22 lelaki dewasa, 11 perempuan dewasa serta empat kanak-kanak, selain tiga kru bot.

Beliau menerangkan, tekong bot berusia 47 tahun dan dua pembantunya berusia 23 dan 24 tahun cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam laut tetapi berjaya ditangkap pihak polis.

Jelasnya, siasatan mendapati bot tersebut dalam perjalanan dari negara ini menuju ke Tanjung Balai, Indonesia, tetapi telah tersadai akibat mengalami kerosakan enjin.

Terangnya lagi, kesemua Pati termasuk bot dibawa ke balik ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh, Sitiawan, untuk tindakan lanjut.

Beliau memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI