fbpx

3 pemandu e-hailing, peniaga jersi didakwa sembunyikan 20 PATI Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi keempat-empat tertuduh untuk didakwa atas pertuduhan menyembunyi dan melindungi 20 orang PATI di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. Foto oleh ROSALWANI CHE SOH/KOSMO!

KOTA BHARU – Tiga pemandu e-hailing dan seorang peniaga jersi dalam talian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyi dan melindungi 20 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk empat wanita pada awal bulan ini.

Tertuduh, Muhammad Khairul Ezwan Mustaffa Kamal, 34, Muhammad Shidee Rishal Zukri Kini ,23, Ahmad Solehan Azmi, 26, dan Habibah Mat, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa secara bersama-sama menyembunyi dan melindungi seramai 16 orang lelaki dan empat wanita warga Myanmar.

Perbuatan itu dilakukan oleh mereka di lorong belakang sebuah stor syarikat telekomunikasi di Kampung Lundang di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 2 Mei lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Seksyen tersebut memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan Seksyen 26A Atipsom merupakan suatu kesalahan keselamatan seperti yang termaktub di dalam jadual pertama SOSMA.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin selain menetapkan 27 Jun depan untuk prosiding deposisi iaitu keterangan migran direkodkan di hadapan hakim.

Kesemua tertuduh dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa di sini sepanjang tempoh prosiding kes berjalan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI