fbpx

Angin halang Azeem pecah rekod

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM melakukan catatan 10.04s pada Kejohanan Kelayakan NCAA di Florida, Amerika Syarikat awal pagi semalam, namun tidak disahkan ekoran bantuan angin.

PELARI pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi mencipta sensasi apabila melakukan catatan masa 10.04 saat (s) di pusingan suku akhir pada Kejohanan Kelayakan Persatuan Olahraga Kolej-Kolej Nasional (NCAA) di Florida, Amerika Syarikat awal pagi semalam.

Meskipun berjaya mengatasi rekod 100 meter (m) kebangsaan 10.09s miliknya, namun catatan masa dilakukan di saringan tiga itu tidak diiktiraf memandangkan larian dilakukan Azeem dibantu kelajuan angin +5.5 meter per saat (m/s).

Berdasarkan undang-undang Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), hanya catatan masa yang dilakukan di bawah bantuan angin +2.0m/s sahaja yang akan diiktiraf, sekali gus meranapkan hasrat Azeem untuk memperbaharui rekod kebangsaan.

“Terlepas peluang untuk melayakkan diri (Kejohanan Kelayakan NCAA). Walaupun saya tidak dapat melayakkan diri ke peringkat kebangsaan, namun saya masih berbangga dengan diri sendiri.

“Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang. Musim yang panjang menanti saya selepas ini dan saya sedia untuk kembali,” katanya menerusi ciapan yang dilakukan menerusi media sosial Twitter semalam.

Untuk rekod, pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu melakukan catatan masa 10.09s ketika memenangi saringan lapan Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia Ogos tahun lalu, sekali gus meleburkan rekod kebangsaan 10.18s milik Khairul Hafiz Jantan.

Pada saringan tiga semalam, tempat pertama dimenangi pelumba Louisiana State University, Da’Marcus Fleming dengan catatan masa 9.85s, diikuti Cole Beck (9.87s) dari Virginia Tech manakala wakil University of Florida, PJ Austin (9.88s) di tempat ketiga.

Secara keseluruhan, Azeem menamatkan aksi suku akhir 100m itu di kedudukan ke-11 dengan menyaksikan 10 pelumba teratas masing-masing melakukan catatan masa bawah 10 saat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI