fbpx

Kes keganasan rumah tangga dominasi OSCC Hospital Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaliha (tengah) pada acara OSCC Fun Run 2023 anjuran Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya. Foto oleh KAMARIAH KHALIDI/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Keganasan rumah tangga mendominasi kes yang direkodkan di One Stop Crisis Center (OSCC) Hospital Putrajaya, kata Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

Menurut beliau, berdasarkan data rujukan kes OSCC dari 2018 hingga tahun lalu, terdapat sedikit penurunan pada 2020 dan 2021 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi mengekang pandemik Covid-19.

Jelasnya, pada 2018 sebanyak 290 kes OSCC telah dirujuk ke Hospital Putrajaya manakala sebanyak 418 kes direkodkan pada 2019 diikuti 336 kes (2020), 268 kes (2021) dan 300 kes pada tahun lalu.

“OSCC ini merupakan salah satu skop perkhidmatan penting yang terdapat di Jabatan Kecemasan dan Trauma di semua hospital kerajaan.

“Tujuan utama perkhidmatan ini adalah untuk membantu dan merawat mangsa yang terlibat dalam kes keganasan rumah tangga, rogol, liwat, keganasan seksual serta penderaan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas acara OSCC Fun Run 2023 anjuran Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, penganjuran acara sedemikian bertujuan memberi kesedaran kepada anggota masyarakat di luar sana yang berhadapan dengan pelbagai masalah sosial.

Katanya, perkhidmatan yang terdapat di OSCC di semua hospital kerajaan ketika ini kurang diketahui umum.

“OSCC ini sudah lama, dimulakan sejak 1995, bila ada pusat sehenti seperti ini individu yang ada masalah-masalah tersebut akan rasa keselamatan mereka lebih terjamin, lebih-lebih lagi yang risau tentang stigma masyarakat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI