fbpx
Mohd Sabri (tengah), pada Program Ihsan Food Bank (i-FB) @ Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di Dewan Zulfaqar UPNM, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

i-FB bantu mahasiswa UPNM tangani kos sara hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai kira-kira 800 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima manfaat menerusi Program Ihsan Food Bank (i-FB) @ UPNM 2026 yang bertujuan membantu mahasiswa berdepan cabaran kos sara hidup.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, program itu merupakan sebahagian usaha berterusan kementerian untuk meringankan beban golongan sasar khususnya pelajar institusi pengajian tinggi.

Menurut beliau, program yang berlangsung di Dewan Zulfakar UPNM itu turut disertai ahli Gerakan Pengguna Siswa (GPS) serta pelajar baharu yang mengikuti Minggu Perkasa Jati Diri (MPJD) sesi akademik 2026/2027.

“Program ini bukan sahaja menyalurkan bantuan makanan, malah memperkukuh pendidikan kepenggunaan dalam kalangan mahasiswa agar mereka lebih peka terhadap hak pengguna dan pengurusan kewangan.

“GPS juga memainkan peranan penting sebagai agen kepenggunaan yang menyampaikan mesej kesedaran kepada pelajar melalui pendekatan lebih kreatif dan dekat dengan generasi muda,” katanya pada sidang akhbar malam ini.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 196 GPS di seluruh negara termasuk 11 yang aktif di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurutnya, KPDN WPKL telah menyalurkan geran penubuhan GPS UPNM sebanyak RM1,000 selain sumbangan makanan kering bernilai RM7,000 hasil kerjasama Yayasan Al Manjie dan Etika Sdn. Bhd.

Katanya, kementerian turut membiayai sebahagian kos penganjuran Teater “REMPUH” dan Program i-FB dengan jumlah keseluruhan RM13,598.

“Program Ihsan Food Bank merupakan penjenamaan semula Program Food Bank Malaysia yang diperkenalkan pada 2018 bagi mengurangkan pembaziran makanan dan membantu golongan memerlukan.

“Mulai tahun ini, ia diberikan nafas baharu berteraskan konsep 3S iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan,” ujarnya.

Tambah beliau, KPDN WPKL berharap kerjasama dengan UPNM dapat diperkukuh termasuk melalui cadangan mewujudkan Food Bank Siswa di kampus bagi memastikan bantuan makanan dapat disalurkan secara konsisten kepada pelajar yang memerlukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN