fbpx

Golongan muda lebih terdedah kepada risiko strok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASALAH strok boleh dibahagikan kepada dua iaitu strok iskemik dan strok berdarah. – Gambar hiasan

ANGIN ahmar atau strok merupakan antara penyakit yang menjadi punca utama kematian dan kecacatan kekal di serata dunia.

Masalah ‘serangan otak’ ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu strok iskemik dan strok berdarah.

Strok iskemik berlaku apabila salur darah arteri ke bahagian otak tersumbat. Manakala, strok berdarah berlaku apabila salur darah arteri ke bahagian otak pecah.

Menurut Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM), strok dalam kalangan golongan muda kini semakin meningkat.

Lebih membimbangkan, 15 peratus daripada kes strok iskemik dialami oleh pesakit dewasa dan remaja.

Hal ini menunjukkan bahawa terdapat kepentingan bagi golongan muda mengambil langkah proaktif dengan menjaga kesihatan mereka, seterusnya menghindari strok.

Pakar Perunding Neurologi dan Perubatan Dalaman, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr. Kok Chin Yong berkata, pada 2016, 40 peratus kes strok yang memerlukan kemasukan ke hospital melibatkan pesakit berusia 60 tahun ke bawah.

“Pakar kesihatan juga melihat bahawa terdapat trend peningkatan strok iskemik dalam kalangan pesakit muda yang sudah bekerja.

“Bagaimanapun, adalah lebih baik jika strok dapat dikesan awal kerana terdapat banyak rawatan boleh diberikan,” tambahnya.

Dalam pada itu, terdapat pelbagai risiko yang boleh menyebabkan strok termasuk merokok, kurang melakukan aktiviti fizikal dan tekanan darah tinggi.

REHABILITASI merupakan salah satu aspek penting dalam proses pemulihan pesakit strok. – Gambar hiasan

Kajian menunjukkan bahawa golongan muda lebih terdedah kepada risiko strok kerana gaya hidup mereka yang tidak aktif, tabiat pemakanan tidak sihat, masa skrin berlebihan serta pengambilan minuman beralkohol dan merokok.

Dr. Chin Yong menjelaskan, faktor vaskular seperti penyakit tekanan darah tinggi dan diabetes, selain faktor persekitaran contohnya pencemaran udara juga telah dikenal pasti sebagai punca strok.

“Satu lagi faktor risiko yang sering diabaikan adalah Obstructive Sleep Apnea (OSA) atau keadaan di mana seseorang itu kerap berhenti bernafas ketika tidur.

“Penggunaan dadah terlarang seperti amfetamin dan heroin juga boleh menyebabkan gangguan saluran darah seterusnya membawa kepada kedua-dua jenis strok,” terangnya.

Namun begitu, beliau berkongsi bahawa terdapat faktor risiko yang jarang berlaku, tetapi masih boleh terjadi dalam kalangan orang lebih muda.

Antaranya adalah Moyamoya syndrome atau gangguan serebrovaskular yang jarang berlaku dan bersifat progresif disebabkan arteri tersumbat.

Selain itu, sindrom antifosfolipid pula boleh menyebabkan pembekuan darah tidak normal serta masalah jantung abnormal.

Bagi mengurangkan risiko ini, beliau menyarankan supaya orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dengan kerap dan mengamalkan diet seimbang.

“Saya sangat tidak menggalakkan penggunaan dadah rekreasi dalam apa jua cara atau bentuk kerana penyalahgunaan dadah serta dos berlebihan boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit sehingga membawa kepada strok.

“Tekanan atau stres juga secara tidak langsung boleh membawa kepada tingkah laku tidak sihat.

“Justeru, penting untuk kita semua belajar mengenal pasti tekanan ini dan cara menanganinya.

“Sebagai contoh, jika tekanan mampu membawa kepada masalah tidak boleh tidur, maka anda perlu bertindak dan menangani masalah ini,” katanya.

Tambahnya, tidur yang tidak cukup boleh memberi kesan kepada sistem imun badan dan boleh menyebabkan keabnormalan dalam darah dan jantung.

Antara simptom-simptom strok yang biasa berlaku termasuk bahagian muka jatuh atau meluyut ke bawah, lemah atau kebas pada anggota badan dan kesukaran bertutur.

Oleh itu, apabila seseorang individu menyedari bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena pada tubuh mereka, terus ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.

Ini bukan sahaja dapat memberi gambaran lebih baik kepada doktor tentang apa yang berlaku pada pesakit, malah pesakit berpeluang menerima dan mendapat hasil terbaik daripada rawatan.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa rawatan dan rehabilitasi adalah aspek penting dalam pelan pesakit untuk kembali pulih.

Terdapat banyak faktor yang akan diambil kira sebelum dan semasa proses pemulihan strok.

Pakar Perunding Perubatan Rehabilitasi SMCV, Dr. Foong Chee Choong berkata, rehabilitasi adalah aspek penting dalam proses pemulihan.

Katanya, pesakit perlu memilih lokasi rawatan dilengkapi dengan kepakaran dan alatan yang tepat untuk membantu mereka kembali pulih.

“Proses pemulihan dan jenis rawatan setiap pesakit adalah berbeza. Tiada pesakit yang mempunyai progress pemulihan sama.

“Dengan mengambil kira perkara ini, doktor perlu menilai keadaan pesakit terlebih dahulu, sebelum mencadangkan pelan rawatan bersesuaian dan berkesan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI