fbpx

Polis Johor beri amaran keras batalkan parti liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster tersebut yang tular di media sosial, semalam.

JOHOR BAHRU – Polis Johor mengeluarkan amaran kepada penganjur agar membatalkan penganjuran pesta seks bebas yang dijadualkan berlangsung di bandar raya ini, bulan depan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penganjuran aktiviti sedemikian adalah menyalahi undang-undang negara ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Polis Johor tidak akan berkongsi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk penganjur sekiranya parti itu diadakan.

“Semalam, Polis Johor telah mengesan penularan satu poster yang mempromosikan pesta seks bebas dan dijangka diadakan pada 20 Jun ini.

“Sehubungan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 292 (e) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 3 tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Manakala bagi kesalahan penyebaran melalui media sosial pula, Polis Johor akan membuat siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 1 tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ujarnya, polis akan buat pemantauan berterusan atas apa-apa juga penganjuran acara yang menyalahi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku sebarang kesalahan.

“Dalam pada itu, kami turut menyeru kerjasama awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah untuk terus menyalurkannya ke Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-2212999,” ujarnya.

Kamarul Zaman turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kebimbangan atau menggugatkan ketenteraman awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI