fbpx

MAIS pantau ketat ajaran sesat sekolah pondok Jawa Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz (tengah) beramah mesra dengan peserta program itu di UITM Puncak Alam, Kuala Selangor, hari ini.

KUALA SELANGOR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan memantau ketat ajaran sesat yang didakwa melibatkan sebuah sekolah pondok atau pesantren di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, beliau setakat ini belum dimaklumkan secara terperinci mengenai isu tular yang dianggap serius tersebut.

Bagaimanapun, tegas beliau, MAIS sentiasa menjalankan pemantauan rapi secara berterusan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai semua ajaran sesat yang dikesan di negeri ini.

“Selain isu pesantren itu, puluhan ajaran sesat lain wujud di Selangor dan kita memang terus memantaunya.

“Jika unsur ajaran sekolah pondok di Indonesia itu dikesan, kita akan berurusan dengan jabatan islam republik itu bagi tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat peringkat Kebangsaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini, hari ini.

Baru-baru ini, seorang selebriti Indonesia, Lucky Hakim mendedahkan terdapat ramai rakyat Malaysia menghadiri satu majlis kontroversi melibatkan sekolah pondok berkenaan.

Kontroversi melibatkan pesantren itu tercetus apabila pengasasnya tular meminta pengikut menyanyikan lagu dan mengucapkan salam dalam bahasa Hebrew selain khutbah solat Jumaat di sekolah berkenaan disampaikan seorang wanita.

Pesantren itu antara sekolah pondok terbesar di Asia Tenggara dan mula beroperasi pada 1996 di atas kawasan seluas 1,200 hektar dengan lebih 7,000 pelajar termasuk dari negara ini.

Abdul Aziz menjelaskan proses bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai sesebuah ajaran sesat bukan dianggap perkara mudah sebaliknya memerlukan strategi dan operasi strategik bagi mengetahui apa yang diajar mereka serta faktor lain.

“Justeru, kita turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain bagi membanteras perkara itu,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MAIS turut mempunyai pusat pemulihan di Baitul Iman, Hulu Yam bagi penghuni yang terpesong dari ajaran Islam sebenar.

“Mereka terjebak dalam ajaran sesat antaranya berpunca masalah salah pemahaman berkaitan agama. Berikutan itu, kita perlu ada pakar tertentu di pusat Baitul Iman bagi memperbetulkan semula kepercayaan mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI