fbpx

Mahkamah: Siti Bainun gagal lagi tangguh hukuman, kekal penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun.

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali gagal lagi dalam permohonan keduanya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down Bella di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Justeru Siti Bainun, 31, kekal dalam penjara sehingga rayuan akhir berhubung dua pertuduhan itu didengar.

Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas menolak permohonan Siti Bainun selaku pemohon selain meneliti hujahan dan afidavit yang dikemukakan kedua-dua belah pihak sebelum ini.

Dalam prosiding hari ini, Siti Bainun, 31, selaku pemohon diwakili peguam Ahmad Faiz Munawar dan Mohammad Farhan Maaruf manakala responden diwakili Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias.

Ketika prosiding berlangsung, Siti Bainun yang dibawa pihak penjara memakai baju blaus hitam. Turut hadir ahli keluarga Siti Bainun yang berada di galeri awam.

Pada 3 Mei lalu, Siti Bainun dihukum penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Pada masa sama, mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun dan bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara selama 12 tahun. HJukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI