fbpx

Dewan Rakyat: 264,127 kes kebankrapan sedang ditadbir Jabatan Insolvensi Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Setakat bulan April 2023, sebanyak 264,127 kes kebankrapan sedang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Tambah Ahli Parlimen Pengerang itu, dalam usaha untuk mengurangkan kes kebankrapan, pada tahun 2017 Kerajaan telah meminda Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] dengan menaikkan nilai ambang keberhutangan daripada RM30,000 kepada RM50,000 dan seterusnya kepada RM100,000 pada tahun 2020.

“Lanjutan daripada inisiatif yang telah dilaksanakan, berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, pendaftaran kes kebankrapan telah menunjukkan impak penurunan.

“Bagi tahun 2022, jumlah kes kebankrapan yang didaftarkan adalah sebanyak 5695 kes berbanding 16,482 kes pada tahun 2019. Namun demikian, statistik menunjukkan masih ramai lagi individu bankrap yang masih belum keluar daripada kebankrapan,” jelasnya ketika membentangkan pindaan Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, tempoh kebankrapan yang lama bukan sahaja membebankan individu bankrap malahan merugikan pihak Kerajaan kerana bankrap tidak dapat menyumbang sepenuhnya kepada pembangunan ekonomi negara.

Oleh yang demikian jelasnya, Kerajaan Perpaduan telah mengambil pendekatan dasar peluang kedua bagi membantu bankrap untuk keluar daripada kebankrapan.

“Selaras dengan itu, bermula 1 Mac 2023, Kerajaan telah mengambil pendekatan untuk memberikan pelepasan melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi kepada
bankrap yang berhutang dalam skala kecil iaitu tidak melebihi RM50,000 dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Dalam hal ini, setakat 30 April 2023, sebanyak 4228 kes yang melibatkan bankrap yang berhutang dalam skala kecil telah dilepaskan melalui sijil KPI,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI