fbpx

Elak ahli politik dalam sukan – Hannah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH mengutarakan pandangan agar penglibatan ahli-ahli politik dapat dielakkan dalam persatuan sukan kebangsaan untuk melihat impak dalam ‘reset’ sukan negara.

AGENDA untuk melakukan ‘reset’ arena sukan negara akan berjaya menghasilkan impak positif sekiranya persatuan sukan kebangsaan tidak perlu bergantung dana sepenuhnya daripada individu-individu berpengaruh.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berpandangan, persatuan sukan perlu berani dan cuba mengelak daripada melibatkan ahli-ahli politik dalam badan induk masing-masing.

“Untuk kita memastikan reset ini berlaku, semua persatuan sukan mesti mempunyai dana yang mencukupi untuk membantu mereka membangunkan sukan masing-masing.

“Sebab itu selalu bila nak cari dana, mereka akan mencari tokoh-tokoh yang mempunyai banyak pengaruh. Apabila bercakap mengenai ‘reset’, model dari segi kewangan sehingga mencungkil bakat kena dilihat semula,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Peringkat Kebangsaan di Stadium Titiwangsa semalam.

Dalam masa sama, Hannah mendedahkan, pihaknya akan menjalinkan kerjasama rentas dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai langkah pertama ‘reset’ sukan negara.

Menurutnya, kerjasama itu amat penting bagi memastikan bakat-bakat baharu dapat dicungkil dan tidak lagi boleh bergantung kepada Majlis Sukan Negara (MSN) semata-mata.

“Saya percaya dengan adanya geran padanan diberikan Kementerian Kewangan sebanyak RM40 juta tahun ini, kita boleh adakan lebih banyak kejohanan seperti ini yang melahirkan minat baharu dalam sukan.

“Persatuan sukan juga boleh tengok bakat-bakat baharu ini yang mungkin sebelum ini tiada peluang atau platform untuk menonjolkan diri mereka,” jelasnya.

‘Reset’ sukan negara tercetus ekoran kegagalan Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas apabila sekadar memenangi 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa untuk meraih tempat ketujuh keseluruhan Sukan SEA Kemboja 2023.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI