fbpx
USTAZ DON

‘Siapa ikut agama, insya-Allah fikirannya terbuka’- Ustaz Don Daniyal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU mengenai selebriti berhijrah dan mendekatkan diri dengan agama Islam semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Usaha dan dakwah berterusan daripada golongan pendakwah, agamawan dan ulama dilihat banyak membantu jiwa-jiwa manusia ini berubah ke arah kebaikan.
Perkembangan dakwah di negara ini juga dilihat positif dan terus berkembang dari semasa ke semasa. Wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berpeluang menemu bual pendakwah bebas dan personaliti televisyen, USTAZ DON DANIYAL mengenai isu dakwah, penghijrahan dan tidak ketinggalan isu hangat mengenai konsert band Coldplay yang bakal diadakan pada hujung tahun ini.

KOSMO! AHAD: Bagaimanakah ustaz melihat perkembangan dakwah di Malaysia ketika ini? Adakah semakin subur atau macam mana?
USTAZ DON: Dakwah adalah usaha mengajak orang kepada ajaran agama Allah SWT iaitu Islam.
Apabila ditanya mengenai perkembangan dakwah di negara ini, kita kena merujuk kepada bagaimana usaha membawa masyarakat mencintai Allah dan Rasulullah SAW.
Hari ini di Malaysia, kita lihat usahanya sangat subur apabila melihat kepada dua kayu ukur utama iaitu premier dan sekunder.

Premier kita boleh lihat dalam bentuk nyata iaitu di masjid, pejabat, majlis-majlis dan di mana sahaja termasuklah media alternatif (sekunder) yang tidak lepas daripada pengisian serta konten.
Malah, pendakwah boleh berdiri sama tinggi dengan figura bukan berasaskan dakwah seperti hiburan, sukan, permainan dan sebagainya.

Kita melihat semasa dan selepas Covid-19 ramai golongan artis yang mula mendekat diri kepada Islam. Bagaimanakah ustaz melihat fenomena ini?
Memang selepas berlakunya sesuatu ujian, bala atau musibah, lumrah manusia secara total akan kembali kepada ajaran Allah. Ini merupakan suasana sihat.

Begitu juga ketika pandemik, kita lihat ramai artis dan orang awam mendekatkan diri kepada agama dan ia patut dibanggakan.
Saya sebagai pendakwah bersyukur kerana Allah membantu kami dalam kerja dakwah ini. Mungkin kalau dengan usaha kami saja, ia agak sukar.
Namun Allah bawa Covid-19, sekali gus manusia dapat mendekatkan diri dengan Islam.

Kita dapati ramai juga artis yang belajar agama dengan ustaz. Boleh ceritakan apa perkara yang mereka ingin dalami? Siapa antara artis yang berguru dengan ustaz?
Secara jujur saya tidaklah membuat kelas atau mengajar artis secara in person (peribadi). Sebaliknya mereka yang rapat dengan saya banyak bertanya tentang agama.
Setakat ini kalau lelaki cuma tiga orang iaitu Nabil Ahmad, Shuib dan Ajak. Mereka bertiga inilah selalu berkomunikasi dengan saya.
Allah sangat baik hati kerana sentiasa mengaturkan agenda yang menyebabkan kami sentiasa bertemu.
Kalau dari segi konten, kebanyakannya adalah kepada perkara asas.
Sekarang ini manusia semakin dewasa dan faham dengan apa yang dipelajari, walaupun perkara sekecil-kecil dalam agama seperti solat dan puasa.
Jadi, mereka cuba ingin mengetahui dengan lebih dalam pada perkara-perkara asas supaya tidak terlepas daripada pengetahuan.

 

Malangnya, kita dapati ada segelintir artis yang berubah hanya seketika. Mengapakah perkara ini berlaku ustaz?
Dalam dunia dakwah kita ada formulanya. Antara formula yang kita pakai adalah ketika mana Nabi Muhammad menegur cucu kesayangan baginda, Saidina Usamah Zaid. Dalam satu peperangan, cucunya itu telah membunuh seorang tentera musuh Musyrikin dalam keadaan lelaki berkenaan mengucap kalimah, Lailahaillallah.
Apabila ditanya sebab membunuh sedangkan lelaki itu telah mengucap kalimah Allah, Usamah menjawab orang itu mungkin berdusta. Maka, Rasulullah menegaskan, kita tidak tahu apa yang bermain dalam hati lelaki tersebut. Jadi secara ringkasnya, perkara dan benda yang melibatkan hati kita tidak perlu ambil tahu. Maknanya, dia ikhlas atau tidak, itu antara dia dengan Allah.
Begitu juga apabila ada segelintir artis ini hanya mengikut trend.
Apa yang boleh saya katakan, seseorang itu berubah berdasarkan kepada cerita istiqamah seseorang.
Istiqamah bukan satu perkara yang mudah. Istiqamah ini perlu didorong atas beberapa faktor.
Faktornya adalah dalaman dan luaran. Dalaman mesti dikayakan dengan ilmu dan kita kena pergi belajar. Luaran pula merangkumi keluarga dan kawan-kawan.

 

Baru-baru ini, ada pihak yang menggelarkan ustaz sebagai ‘ustaz rock atau ranggi’. Ini disebabkan penampilan ustaz yang agak ‘sempoi’ ketika di khalayak. Boleh ustaz ulas mengenai perkara ini?
Sebelum saya mendapat gelaran tersebut ada lagi senior pendakwah yang mendapat gelaran ini seperti Ustaz Akhil Hayy, Ustaz Hanan Attaki dan ramai lagi.
Berdasarkan kepada apa yang orang gelar, ia baik serta membantu kepada kerja-kerja dakwah saya.
Benda dan perkara ini (gelaran) kita tidak minta. Bukan kita pandai-pandai menamakannya.
Jadi, kalau mereka rasa cara ini boleh mendekatkan diri mereka dengan saya, tidak ada masalah.
Saya juga menjadi diri saya yang sebenar. Jujur, saya suka bergaya daripada awal dulu sebelum jadi ustaz lagi. Itulah saya yang sebenarnya. Saya bersyukur dengan kurniaan Allah ini.

 

Baru-baru ini, tular satu video ustaz mengajak pendengar mendengar lirik lagu Coldplay, Fix You bagi menghilangkan depresi? Boleh ustaz kongsikan tentang video ini? Ustaz minat Coldplay?
Kalau ikutkan video itu lama dah sebenarnya. Video itu panjang dan ada di YouTube. Bila tanya mengenai ajak orang lain mendengar itu, saya mengajak orang mendengar kepada perkara baik dan benda yang boleh menghidupkan jiwa manusia.
Menghidupkan jiwa manusia ini tidak sama. Ada orang jiwanya hidup apabila mendengar qasidah, ada orang dengar al-Quran dan ada juga yang dengar muzik, ceramah, instrumen serta nasyid.
Dalam konteks ini, secara jujur album Coldplay yang saya ada bertajuk, A Rush of Blood to the Head. Kalau tanya minat atau tak, memang saya minat.
Lagu Fix You itu boleh saya katakan liriknya clean (bersih), tapi kita tidak tahu apa maksud tersirat penyanyi tersebut.
Bagi kita, cahaya yang sebenar ialah Allah SWT. Cahayalah yang akan memandu kita dalam kegelapan. Sebenarnya banyak mesej-mesej dalam lagu Coldplay yang bagus antaranya Clock dan Yellow.

 

Mungkin ustaz boleh memberi pencerahan mengenai penghayatan terhadap lirik lagu Barat. Ini kerana ada sesetengah orang terlalu mudah menjatuhkan hukum haram dan maksiat kepada muzik dari Barat?
Pertama, kita semua kena setuju bahawa hukum mendengar lagu ini adalah khilaf. Justeru, benda khilaf ini jangan kita panjangkan.
Tidak kena macam itu. Benda khilaf biarkan khilaf. Kita tidak boleh ajak orang suka benda yang kita suka tapi pada dasarnya khilaf.
Berbalik kepada penghayatan lirik dan mendengar lagu, muzik yang mendorong sekumpulan manusia melakukan perkara syirik itu kita tolak. Tetapi lagu yang menghidupkan jiwa seperti lagu Tan Sri P. Ramlee perkara tersebut bagus. Kita dengar, hayati dan fahaminya.

 

Bagaimanakah hendak membezakan antara pemikiran jumud atau berfikir mengikut lunas syarak yang sebenar?
Kalau diikutkan, siapa yang ikut Islam, mereka ini mengikut lunas syarak. Maka, golongan yang tidak mengikut Islam adalah sebaliknya.
Islam adalah satu-satunya agama yang membuatkan penganutnya berjaya dan sentiasa berusaha dalam kehidupan mereka.
Siapa ikut agama, insya-Allah pemikirannya terbuka, manakala siapa yang tidak ikut agama fikirannya jumud.
Siapa yang berfikiran jumud dan mengatakan dia ikut agama, kena check (periksa) semula sebab Islam adalah agama yang sentiasa relevan sampai bila-bila.

 

Semua orang di dunia ini sukakan muzik. Terkini, negara akan menerima kehadiran konsert sebuah band dari luar negara pada akhir tahun ini. Apa pandangan ustaz mengenai konsert ini?
Pertama, saya tidak boleh komen lanjut selagi mana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak membawa keluar panduan asas mengadakan dan menghadiri konsert tersebut.
Ini kerana Jakim adalah tonggak agama di negara kita yang menyediakan Rang Undang-Undang yang mengetengahkan tatacara syariah kepada umat Islam.
Bagi mereka yang bukan Islam, silakan.
Cuma yang menjadi isunya hari ini adalah dari konteks Islam dan berlaku di negara Islam.
Jadi, sebelum saya bercakap atau komen lebih lanjut, Jakim itu sendiri termasuk Majlis Fatwa serta mufti kena keluarkan garis panduan untuk mengadakan dan menghadiri konsert termasuklah hukum hakam apa yang boleh serta tidak boleh.

 

Kita dapati apabila konsert besar diadakan di negara ini, orang Islam juga akan turut serta. Jadi, kalau orang Islam nak pergi apakah perkara-perkara yang perlu mereka elakkan ketika dalam konsert?
Perkara-perkara yang orang Islam perlu elakkan adalah benda-benda yang memacu kepada perkara haram. Itu yang kita kena elakkan.
Contohnya, berlaku pengasingan antara lelaki dan perempuan dalam sesebuah konsert. Misalnya, lelaki di bahagian bawah, manakala wanita di bahagian atas.
Perkara pertama yang perlu kita elak jangan minum minuman keras, jangan bawa dadah dan jangan pakai pakaian berunsur provokasi. Pergi konsert dalam keadaan hadir untuk enjoy (nikmati) muzik.
Sama juga macam konsert Inteam dan Search baru-baru ini. Just enjoy (nikmati sahaja).
Islam sendiri mengingatkan kita agar jangan menghampiri kepada perkara haram. Saya setuju dengan perkara tersebut, cumanya letakkan garis panduan.
Manusia perlu dibentuk, dibendung bukan dilarang semata-mata tanpa ada alasan, akhirnya membawa kepada ‘rebel’ (memberontak).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN