fbpx

Kenyataan diputarbelit, Syafiq Yusof enggan bagi komen lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFIQ YUSOF

KUALA LUMPUR – Serik kenyataan diputarbelit membuatkan pengarah, Syafiq Yusof enggan mengeluarkan lagi komen berkaitan sambutan hari raya bersama abangnya, Syamsul Yusof.

Katanya, biarlah momen menyambut Aidilfitri bersama ahli keluarga terdekat atau sesiapa pun disimpan sendiri supaya tidak mencetuskan fitnah.

“Saya tiada komen. Sebelum ini, saya cakap ingin beraya bersama abang, tetapi penulis blog yang saya tak kenal memutar belit kenyataan dengan menyatakan saya mahu beraya dengan orang lain.

“Ada pihak mereka-reka cerita yang datang entah dari mana. Benda tiada, tiba-tiba ada. Saya terpaksa fikir semula bila saya cakap macam itu.

“Kalau saya tak iyakan, nanti orang cakap saya tak beraya dengan abang. Kalau saya cakap beraya, orang bertanya pula sama ada berjumpa individu tertentu.

“Biarlah perkara ini jadi persoalan. Saya pilih untuk tidak memberi sebarang komen,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem Polis Evo 3 di TGV, KLCC, kelmarin

Syafiq yang juga pengarah filem aksi itu turut terkilan apabila isu putar belit kenyataannya mengheret sekali nama keluarga terutama ibu bapanya, Datin Patimah Ismail dan Datuk Yusof Haslam.

Tidak mahu berdiam diri, tegas Syafiq, andai fitnah sedemikian terus berleluasa, dia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas.

“Mereka perkara yang tiada, itu sudah satu fitnah dan tidak sepatutnya berlaku. Saya tengok ramai percaya dengan berita palsu, padahal saya tak cakap pun.

“Saya harap orang ramai jangan cepat percaya apa yang dimuat naik dalam talian sebab kebanyakannya tidak wujud,” kongsi sutradara berusia 30 tahun itu.

Mengenai naskhah yang bakal ditayangkan di 165 pawagam mulai 25 Mei ini, dia menyerahkan kepada penonton untuk membuat penilaian sekaligus terbuka berdepan kritikan.

“Saya berlapang dada terhadap maklum balas, namun berharap penggemar filem juga terbuka dengan pendapat saya sebagai pembikin filem,” ujarnya.

Terdahulu, Polis Evo pada 2015 mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama mencapai kutipan pecah panggung dengan lebih RM18 juta, manakala Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah sebanyak RM25 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI