fbpx

Pelaburan berterusan TNB selesakan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ilustrasi artis bagi projek talian penghantaran 275kV dengan kos RM500 juta yang dijangka siap menjelang hujung 2024.

PETALING JAYA – Seseorang boleh bingkas bangun apabila tiba-tiba bilik tidurnya berasa berbahang kerana kipas berhenti berputar atau pendingin hawa tidak berfungsi disebabkan bekalan elektrik terputus. Di jalan raya pula, keadaan trafik bersimpang siur kerana lampu isyarat di persimpangan tidak berfungsi.

Semuanya boleh menjadi tidak selesa kerana hakikatnya, kehidupan moden memerlukan bekalan eletrik 24 jam sehari, 365 hari setahun, siang mahupun malam, ketika jaga atau sedang tidur.

Demikian kritikalnya peranan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai syarikat utiliti nasional untuk menjamin keselamatan bekalan bagi meningkatkan tahap kepuasan rakyat yang menginginkan perkhidmatan stabil, berdaya harap serta mempunyai nilai tambah.

Justeru, TNB komited melabur besar-besaran sejumlah RM21 bilion antara 2022 dan 2024 untuk memodenkan Grid Nasional agar menjadi grid pintar yang konsisten dan fleksibel, sekali gus memperkukuhkan keupayaan rangkaian penghantaran dan pengedaran di Malaysia.

Pelaburan tersebut membolehkan Grid Masa Depan menjadi pemboleh utama peralihan tenaga, dengan menghubungkan seluruh rantaian nilai perkhidmatan TNB daripada penjanaan kepada penghantaran dan pembahagian sehinggalah ke premis pelanggan.

Rekod cemerlang perkhidmatan sejak ditubuhkan dengan nama Lembaga Letrik Pusat (CEB) pada 1949, membuktikan Grid Nasional telah membentuk tulang belakang dan infrastruktur kritikal yang diperlukan bagi pembangunan bekalan tenaga di negara ini.

Bekalan berdaya harap ini menyentuh hampir setiap insan di tanah air dengan meliputi 99.9 peratus Semenanjung Malaysia, lantas menjadi pemangkin transformasi negara daripada hanya menjalankan kegiatan pertanian dan perlombongan kepada kepelbagaian ekonomi hari ini.

Dalam tempoh lebih tujuh dekad itu, TNB memudahkan perkembangan perindustrian negara, membantu perdagangan dan diperlukan oleh semua entiti serta kegiatan masyarakat dengan menukar pelita minyak tanah kepada api dalam kaca, menjadi pemangkin mengubah desa menjadi pekan, bandar kecil berkembang sebagai bandar raya dan akhirnya muncul kota metropolitan.

Bekalan tenaganya menerangi kediaman dan tempat kerja, menyalurkan tenaga kepada kilang dan industri, memacu kemajuan dan menawarkan pelbagai peluang, termasuk merangsang perniagaan serta peluang pekerjaan.

Ia disempurnakan menerusi lebih 28,900 kilometer talian penghantaran dengan lebih 25,800 kilometer merentangi hingga ke setiap ceruk Semenanjung, yang menghubungkan 529 pencawang masuk disusuli lebih 769,000 rangkaian pembahagian bagi pengagihan tenaga melalui lebih 96,800 pencawang kepada pelanggan.

TNB pada tahun lalu, mengumumkan akan terus melabur dalam pembangunan grid sebagai satu daripada empat inisiatifnya bagi mempercepatkan pacuan Peralihan Tenaga mencapai aspirasi sifar bersih, sejajar dengan sasaran Malaysia sebagai negara neutral karbon pada 2050.

Justeru, Bahagian Grid dan Rangkaian Pembahagian TNB komited dalam merancang, membangun dan mengekalkan rangkaian penghantaran yang mampan, selamat dan boleh dipercayai dengan melabur secara berhemat ke dalam pemodenan dan pendigitalan untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan kecerdasan sistem.

Hasil pelaburan ini dapat dinilai melalui penanda aras Smart Grid Index (SGI), yang mana TNB menunjukkan pencapaian pemarkahan luar biasa iaitu 71.4 peratus pada 2022, peningkatan 19.4 peratus daripada 2019 sekali gus berada di landasan menuju sasaran 85 peratus menjelang 2025.

SGI adalah indikator pengukuran tahap pencapaian grid pintar utiliti tenaga seluruh dunia berdasarkan tujuh dimensi utama, iaitu kepuasan dan pemerkasaan pelanggan, keselamatan, tenaga hijau, pemantauan dan kawalan, analisis data, daya harap bekalan dan integrasi tenaga boleh baharu teragih.

Ia dicapai melalui pembangunan grid kalis masa meliputi antaranya Infrastruktur Pemeteran Maju (AMI) iaitu meter pintar, Automasi Pembahagian (DA), Penyelesaian Mobiliti, Sistem Maklumat Geospatial (GIS) dan Sistem Pengurusan Pembahagian Maju (ADMS). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI